Kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam carta Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026/2027 Zon Timur kekal di tangga ketujuh selepas Jeonbuk Hyundai gagal meraih kemenangan dalam aksi kelima mereka pada Rabu.
Skuad kendalian Xisco Muñoz sebelum itu mengutip satu mata selepas terikat 1-1 menentang Ratchaburi FC dalam aksi Matchday 5 yang berlangsung di Thailand pada Selasa.
Keputusan seri tersebut menyaksikan JDT mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan selepas mengharungi lima perlawananz
Bagaimanapun, kedudukan Harimau Selatan berpotensi dipintas oleh wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai yang turut beraksi dalam perlawanan kelima mereka pada Rabu.
Jeonbuk berpeluang memintas JDT sekiranya berjaya menewaskan Kashima Antlers sekali gus mengumpul tiga mata penuh untuk mengubah kedudukan dalam carta Zon Timur.
Namun, hasrat kelab Korea Selatan itu tidak kesampaian apabila mereka tewas 0-3 kepada Kashima Antlers dalam aksi yang berlangsung pada Rabu.
Keputusan tersebut menyaksikan Jeonbuk kekal mengumpul tujuh mata daripada lima perlawanan, sekali gus berada di tangga ke-11 di belakang JDT.
Dalam perkembangan sama, JDT kini hanya dipisahkan satu mata daripada Beijing Guoan yang berada di tangga kelapan dengan tujuh mata, manakala Cong An Ha Noi, Daejeon Hana dan Jeonbuk masing-masing turut mengumpul tujuh mata.
Untuk rekod, lapan pasukan teratas Zon Timur akan mara ke pusingan 16 terbaik dan JDT perlu terus mengutip mata dalam baki perlawanan bagi memastikan kedudukan mereka dalam kelompok tersebut.


