Pemain tengah Phnom Penh Crown, Callum Timmins yakin pasukannya bukan pilihan untuk menewaskan wakil Malaysia, Kuching City FC.
Kenyataan itu dibuat menjelang pertemuan kedua kelab dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) esok. Ketika ini, Phnom Penh Crown mendahului kumpulan dengan sembilan mata, manakala Kuching City berada di tangga ketiga dengan empat mata selepas empat perlawanan.
Pemain berusia 26 tahun itu tidak menganggap kemenangan 2-1 di Phnom Penh pada aksi pembukaan, September lalu, sebagai jaminan untuk pertemuan kali ini. Ketika itu, Moses Dyer menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
“Kami memiliki keyakinan sebagai satu pasukan namun mahu kekal merendah diri. Kami sentiasa mahu fokus semasa sesi latihan dan juga menjelang hari perlawanan.
“Sudah pasti jangkaan kami adalah untuk memenangi perlawanan ini. Saya yakin dengan kemampuan pasukan dan setiap pemain dan akan buat yang terbaik.”
Pemain kelahiran Birmingham, England itu menyertai Phnom Penh Crown secara pinjaman selama setahun dari Perth Glory pada Julai lalu. Ini merupakan pengalaman pertama beliau beraksi di luar Australia selepas bermain untuk Perth Glory dan Newcastle Jets dalam A-League.
“Kami merupakan sebuah pasukan yang amat baik. Kadangkala kami kurang dihargai tetapi sudah pasti kami akan berikan aksi terbaik untuk mendapatkan tiga mata,” katanya.
Bekas pemain Newcastle Jets itu dijangka berdepan cabaran besar kerana Kuching City kini dalam momentum terbaik. Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memenangi tiga perlawanan berturut-turut dengan jaringan 2-0 dalam setiap perlawanan.
The Cats menundukkan Gangwon FC dalam ACL2, Selangor FC dalam Piala FA dan Negeri Sembilan dalam Liga Super, iaitu enam gol tanpa sebarang bolos.
Phnom Penh Crown pula sedang bergelut apabila gagal menang dalam empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, dengan satu seri dan tiga kekalahan. Antaranya ialah kekalahan 2-1 kepada Kitchee dalam ACL2.
Kemenangan ke atas pendahulu kumpulan akan merapatkan jurang Kuching City kepada hanya dua mata. Ia sekali gus meletakkan pasukan dalam saingan merebut dua tempat teratas untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Perlawanan Kuching City menentang Phnom Penh Crown akan berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada Khamis, 26 November ini jam 6 petang waktu Malaysia. Kuching City kemudian akan ke Hong Kong untuk menentang Kitchee bagi perlawanan terakhir kumpulan pada 3 Disember.


