Malaysia memiliki peluang besar untuk menghantar dua wakil beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) untuk musim 2028-2029.
Ini kerana berdasarkan kedudukan ranking terbaru negara ahli (MA) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia kini menduduki tempat keempat untuk negara Asia Timur dengan 46.142 mata.
Kemas kini terbaru Footy Ranking menyaksikan Malaysia memintas Australia yang kini menduduki tangga kelima. Australia pula mengumpul 46.078 mata.
Situasi kuasa bola sepak Asia itu tidak dibantu dengan prestasi buruk dua wakil A-League, Newcastle Jets dan Melbourne Victory di peringkat benua itu. Newcastle Jets terlepas peluang menyumbang mata apabila tewas 2-1 kepada Kashiwa Reysol.
Meskipun diikat 1-1 dengan Ratchaburi, itu tidak menghalang JDT menyumbang mata tambahan kepada ranking MA AFC Malaysia. Kutipan mata dijangka bertambah sekiranya Kuching City mengatasi Phnom Penh Crown FC dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Aksi tersebut bukan saja peluang buat anak buah Aidil Sharin Sahak untuk terus menghidupkan peluang mara ke pusingan 16 pasukan terbaik. Malah, ini juga peluang buat Kuching City membantu Malaysia menambah jurang mata dengan Australia.
Kedudukan keempat untuk ranking MA AFC cukup bernilai buat Malaysia bila memasuki musim 2028-2029. Ini kerana Malaysia berpeluang menghantar dua wakil ke ACLE.


