Nama bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Daniesh Amirruddin terus menjadi sebutan dalam kalangan penyokong kelab gergasi selatan tanah air itu.
Selepas dua kali menggegar jaring UM Damansara dalam aksi pusingan 16 Piala FA, nama Daniesh sekali lagi menjadi bualan apabila meledakkan dua gol dalam saingan Shopee Cup.
Kali ini, giliran kelab Kemboja, PKR Svay Rieng menjadi mangsa pemain sayap berusia 20 tahun itu. Lebih menarik, Daniesh meledakkan gol terhadap UM Damansara dan Svay Rieng apabila tampil sebagai pemain gantian.
Selepas masuk menggantikan Natxo Insa dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA, beliau membalas kepercayaan Xisco Munoz dengan meledakkan gol terhadap UM Damansara pada minit ke-57 dan 87.
Impak sama turut ditampilkan bila beraksi menentang Svay Rieng. Meskipun hanya sempat beraksi selama 10 minit, Daniesh merobek gawang pelawat yang dikawal Dara Vireak sebanyak dua kali pada minit ke-78 dan 86.
Impak Daniesh turut mendapat pujian DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. “Masa depan. 10 minit, dua gol,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story.

Hal ini jelas memperlihatkan kualiti yang dimiliki beliau ketika bersama skuad JDT II dan JDT III. Semasa bersama JDT III musim lalu, Daniesh membantu pasukan itu muncul juara Piala Presiden.
Anak jati Merlimau, Melaka itu juga menjadi sebahagian daripada skuad Johor yang meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Memandangkan JDT menjadikan Shopee Cup dan Piala Malaysia sebagai medan menggilap bakat muda, ini peluang buat Daniesh membuktikan bahawa beliau mampu menjadi permata baharu pasukan gergasi selatan tanah air itu.