Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Kumpulan B Shopee Cup dengan kemenangan apabila membelasah PKR Svay Rieng di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selepas diikat lawan sama 2-2 dalam aksi peringkat kumpulan Shopee Cup musim lalu, anak buah Xisco Munoz tidak mahu pisang berbuah dua kali bila menentang Svay Rieng.
Gandingan Arif Aiman Hanapi, Jairo da Silva dan Marcos Guilherme menjadi taruhan Munoz merobek gawang kelab Kemboja itu. Jurulatih Svay Rieng, Matt McConkey pula memilih Kwame Peprah sebagai peledak utama.
Sebaik perlawanan bermula, JDT berdepan kesukaran memecah benteng pelawat. Ini disebabkan McConkey menggunakan formasi 4-1-4-1 untuk mengekang jentera serangan tuan rumah.
Situasi ini tidak dibantu dengan deretan peluang yang dimiliki JDT tetapi gagal disempurnakan Jairo. Harimau Selatan menunggu sehingga minit ke-39 untuk membuka tirai jaringan menerusi Arif Aiman.
Gol tersebut memastikan JDT mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, McConkey melakukan dua perubahan dengan memasukkan Tiago Alves dan Sophal Dimong dengan tujuan memperkemaskan jentera Svay Rieng.
Malangnya, gawang mereka bocor enam minit selepas babak kedua bersambung. Jairo mencipta hantaran yang mudah disudahkan Guilherme melepasi Dara Vireak.
Kevin Medina menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-61. Sembilan minit selepas itu, penyerang Iran, Shahab Zahedi meledakkan gol keempat buat JDT.
Bintang muda Harimau Selatan, Daniesh Amirruddin membuat impak segera dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-78. Daniesh yang masuk menggantikan Arif Aiman pantas menyudahkan peluang yang terhidang.
Lapan minit selepas itu, Daniesh sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring buat Harimau Selatan. Keputusan 6-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan JDT menerajui Kumpulan B Shopee Cup dengan kelebihan jaringan yang besar.