Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mengetuai kebangkitan Cerezo Osaka untuk meraih keputusan seri 2-2 dengan Urawa Reds di Stadium Saitama.
Selepas tewas 3-0 di tangan FC Tokyo pada 21 November lalu, anak buah Pablo Machin melihat aksi ini sebagai peluang untuk bangkit dan meraih keputusan positif.
Malangnya, Cerezo bermula dengan langkah kiri apabila ketinggalan pada minit ke-10 menerusi Ado Onaiwu. 12 minit selepas itu, giliran Takuro Kaneko mencetak nama sebagai penjaring buat Urawa Reds.
Tersentak, Cerezo kembali mengatur rentak dan bangkit selepas rehat. Bek tengah, Rikito Inoue menceriakan kem pelawat dengan meledakkan gol pada minit ke-56.
Enam minit kemudian, Solomon Sakuragawa melengkapkan kebangkitan Cerezo. Ini gol kesembilan beliau dalam 20 penampilan semua kejohanan untuk kelab itu musim ini.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Kaneko dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.4.
Cools pula mendapat markah 7.2. Selepas ini, bekas pemain Buriram United itu akan mengetuai Cerezo untuk aksi menentang Kyoto Sanga pada 28 November ini.


