Pemain tengah kebangsaan, Endrick dos Santos mengakui tidak sabar meraih penampilan pertama bersama Star City FC.
Sebelum ini, pemain tengah berusia 31 tahun itu terpaksa berehat selama tiga bulan kerana mengalami kecederaan ligamen medial kolateral (MCL). Kecederaan itu dialami ketika kempen ASEAN Hyundai Cup.
Endrick mengakui disebabkan tempoh rehat yang lama, beliau tidak dapat membantu pasukan baik Star City mahupun Harimau Malaya.
Atas sebab itu, barisan kejurulatihan The Northern Stars memanfaatkan tempoh rehat Liga Malaysia (Liga M) untuk memastikan beliau cergas sepenuhnya sebelum dibenarkan kembali beraksi.
“Proses pemulihan saya berjalan dengan sangat baik dan tubuh saya memberikan respon positif terhadap rawatan sebelum ini, jadi saya bersedia untuk memasuki fasa akhir daripada pemulihan kepada aktiviti di atas padang.
“Kalau tiada masalah besar dan saya semakin bersedia, berkemungkinan besar saya akan bersama pasukan untuk perlawanan akan datang ini, tetapi semuanya bergantung kepada jurulatih.
“Sudah tentu rasa janggal juga tidak dapat beraksi pada awal musim ini sebab saya nak bantu pasukan dan gembira apabila rawatan sejak tiga bulan lalu berjalan sangat baik,” katanya.
Endrick berharap dapat membantu Star City bangkit mengatasi kelebihan agregat 4-1 yang dimiliki Selangor FC dalam aksi suku akhir kedua Piala FA.
Selain beliau, Star City juga dijangka mendapat kembali khidmat seorang lagi pemain kebangsaan, Engku Shakir Engku Yacob dan Pedro Henrique. Kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium MBPJ pada 11 Oktober ini.