Selangor FC menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneliti dan menyiasat insiden yang berlaku ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City pada Ahad lalu.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Selangor FC memaklumkan bahawa pihak kelab sudah mengemukakan laporan bertulis kepada FAM berhubung insiden yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.
Langkah itu diambil bagi memastikan segala kejadian yang berlaku dapat diteliti dan disiasat oleh badan induk bola sepak negara.
Dalam masa sama, Selangor FC memberi jaminan kepada semua pemegang taruh kelab termasuk penyokong bahawa mereka komited mempertahankan hak serta keselamatan pemain dan pegawai dalam apa jua keadaan.
Kelab itu turut menegaskan pendirian untuk terus berpegang kepada prinsip profesionalisme dan semangat kesukanan yang tinggi.
Selangor FC juga menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada FAM sepanjang proses siasatan dijalankan.
Perkara itu penting bagi memastikan satu proses siasatan yang adil dan saksama dapat dilaksanakan berhubung insiden berkenaan.
Usaha tersebut diharap dapat membantu memelihara martabat bola sepak tanah air.

