Piala FA

Jurulatih DPMM Akui Kelalaian Pemain Bawa Padah

Web 20261107 212035 0000 Jurulatih DPMM Akui Kelalaian Pemain Bawa Padah
DPMM FC
Advertisements

Ketua Jurulatih DPMM mengakui kelekaan anak buahnya dalam tempoh 30 minit terakhir perlawanan menjadi antara faktor yang mengundang padah sehingga gagal memberikan saingan kepada JDT.

Pengendalo berusia 48 tahun itu menegaskan bahawa para pemain perlu terus berpegang pada asas permainan, mengekalkan disiplin taktikal serta memastikan organisasi pasukan sentiasa teratur bagi mengelakkan kesilapan sama daripada berulang terutama pada saat-saat penting perlawanan.

Pada Ahad lepas, Brunei DPMM tewas dengan agregat 8-1 kepada JDT dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala FA musim ini yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Beliau bagaimanapun menyifatkan kekalahan itu menjadi satu peringatan, namun tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan DPMM FC yang disifatkan cemerlang sepanjang musim ini.

“Saya rasa kekalahan ini sedikit sebanyak menjadi satu peringatan buat kami. Secara keseluruhannya, kami telah mempamerkan prestasi yang sangat cemerlang pada musim ini dalam semua pertandingan.

“Sama ada dalam saingan liga mahupun piala, prestasi kami amat memberangsangkan. Kami juga telah memberikan tentangan sengit kepada pasukan terbaik dalam liga sejak empat tahun, malah 12 tahun yang lalu. Jurang antara kami sebenarnya semakin rapat.”

Selain itu, Jamie McAllister mengakui pasukannya masih mampu memberikan saingan sengit kepada lawan meskipun tewas 0-2 dalam aksi pertama. Bagaimanapun, beliau kurang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya pada 25 minit terakhir perlawanan, yang disifatkan tidak mencerminkan identiti sebenar pasukan.

“Saya tahu kami tewas 0-2 pada perlawanan pertama, tetapi keputusan itu sebenarnya boleh sahaja menjadi 1-2. Kemudian, kami berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas 55 minit permainan. Ini menunjukkan bahawa kami sebenarnya mampu memberikan saingan yang cukup sengit.

“Jadi, jelas sekali kami sedang merapatkan jurang dengan mereka. Cuma, prestasi kami dalam 25 minit terakhir perlawanan bukanlah seperti kebiasaan kami. Saya sudah menyuarakan perkara ini kepada para pemain di bilik persalinan. Lebih-lebih lagi apabila mengambil kira tahap prestasi yang telah kami tunjukkan sepanjang musim ini.”

Selepas itu, jurulatih kelahiran Scotland itu turut menegaskan bahawa pasukannya perlu kembali berpegang kepada asas permainan serta mengekalkan disiplin taktikal, khususnya pada penghujung perlawanan bagi memastikan identiti permainan pasukan tidak terjejas.

“Dari segi penguasaan bola mahupun ketika bertahan tanpa bola, kami telah beraksi dengan sangat baik. Itulah yang membentuk identiti dan menjadikan pasukan kami seperti sekarang.

“Jadi, kami hanya perlu terus mengingatkan para pemain bahawa dalam 20 hingga 30 minit terakhir perlawanan, mereka tidak boleh mengabaikan perkara-perkara asas.

“Kami perlu melaksanakan asas permainan dengan baik, mengekalkan disiplin taktikal serta memastikan organisasi dan struktur pasukan sentiasa teratur. Daripada asas inilah kami dapat membina gerakan dan mencipta peluang,” kata jurulatih DPMM, Jamie McAllister ketika di temu bual oleh MFL.

Selepas gagal mara ke pentas final Piala FA, Brunei DPMM bakal meneruskan saingan liga dengan berdepan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 November ini, jam 9.00 malam, dalam usaha memburu kemenangan kelima mereka musim 26-27.