Piala FA

MFL Serah Bukti Insiden Kuching City vs Selangor Kepada FAM

Kuching Selangor MFL Serah Bukti Insiden Kuching City vs Selangor Kepada FAM
Selangor FC
Advertisements

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan telah menyerahkan laporan serta bukti berkaitan insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City FC serta Selangor FC ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Ahad lalu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menerusi kenyataan rasmi pada Selasa, MFL memaklumkan pihaknya telah selesai mengumpulkan segala maklumat berkaitan insiden yang berlaku selepas aksi tersebut.

Antara laporan yang diserahkan kepada FAM termasuk maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan.

Segala maklumat berkenaan diserahkan untuk penelitian serta tindakan selanjutnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, selaras dengan bidang kuasa badan induk bola sepak negara itu.

Dalam masa sama, MFL turut sedang meneliti dan mengkaji sebarang tindakan susulan yang boleh diambil berdasarkan peraturan serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada badan pengelola Liga Malaysia itu.

MFL turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius insiden kekecohan yang berlaku dalam perlawanan berkenaan.

Badan pengelola Liga Malaysia itu juga memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat mencetuskan kekecohan serta berkelakuan tidak wajar.

MFL menegaskan tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku sehingga mengetepikan prinsip semangat kesukanan yang tinggi dalam bola sepak.