Piala FA

Piala FA: Kuching City Ke Final, Bangkit Singkirkan Selangor

Boumous Tanigawa Kuching City Selangor FC Piala FA: Kuching City Ke Final, Bangkit Singkirkan Selangor
Selangor FC
Advertisements

Kuching City FC meranapkan impian Selangor FC mara ke final Piala FA apabila menewaskan pasukan itu dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin.

Selepas tewas 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama, anak buah Aidil Sharin Sahak sedar mereka perlu bangkit dalam aksi timbal balik jika ingin ke final.

Selangor turut memburu misi sama selepas menang 2-1 dalam aksi sebelumnya. Selangor berpotensi mara jika berjaya mempertahankan kelebihan agregat mereka.

Sebaik wisel bermula, tuan rumah berusaha mencari gol. Meskipun begitu, perancangan taktikal Selangor yang direncana Kim Pan-gon berjaya menyerap tekanan The Cats.

Kuching City akhirnya menyamakan kedudukan agregat 2-2 menerusi penalti Safawi Rasid pada minit ke-57. Tuan rumah mendapat talian hayat selepas VAR mengesan Harith Haiqal Adam Afkar menjatuhkan Jerome Mpacko Etame dalam kotak penalti.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol untuk memecah kebuntuan agregat tetapi keputusan 2-2 kekal selepas tamat 90 minit. Ini bermakna perlawanan dibawa ke masa tambahan 30 minit.

Tatkala perlawanan seakan diheret ke penentuan sepakan penalti, Mukhairi Ajmal bernasib malang apabila tertampan ke gawang sendiri pada minit ke-118.

Gol tersebut bukan saja memastikan Kuching City layak ke final. Malah, ini turut menamatkan kemarau selama 25 tahun wakil Sarawak layak ke final.

Selangor kemudiannya bernasib malang apabila Eduardo Sosa dan jurulatih kecergasan, Joel Dones dilayangkan kad merah oleh pengadil. Ini susulan pergaduhan yang tercetus pada minit akhir masa tambahan.

The Cats bakal bertemu dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT layak ke final selepas menewaskan DPMM FC 6-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua.