Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan keunggulan apabila mengesahkan kemaraan ke final Piala FA Malaysia selepas menyingkirkan DPMM FC dalam aksi separuh akhir.
JDT yang membawa bekalan kelebihan agregat 2-0 hasil kemenangan pada aksi separuh akhir pertama tampil dengan barisan mantap apabila Joao Figueiredo kembali mengisi kesebelasan utama, dibantu Jairo da Silva dan Yago Cesar di jentera serangan.
Sementara itu, DPMM kendalian James McAllister turut mempertaruhkan barisan terbaik dengan menurunkan enam pemain import, termasuk Dalberto dan Jordan Murray yang mengetuai jentera serangan.
JDT terus menguasai permainan sebaik wisel permulaan dibunyikan, sekali gus memaksa DPMM lebih banyak bertahan sambil menanti peluang untuk melancarkan serangan balas.
Selepas deretan serangan merbahaya, JDT akhirnya berjaya di hadapan menerusi penyudah Joao Figueiredo pada minit ke-27 yang menanduk kemas umpanan Oscar Arribas untuk meletakkan JDT 1-0 di hadapan.
JDT meneruskan asakan ke kubu DPMM dan Jairo hampir mencetak gol kedua JDT pada minit ke-38 menerusi tandukan tajam namun tiang menjadi penghalang.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, JDT mempunyai peluang awal untuk meledak gol menerusi Figueiredo dan Jairo namun kedua-dua peluang itu tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.
DPMM yang jarang melakukan serangan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jordan Murray yang meledak pada minit ke-49.
Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT bertindak pantas melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Dani Bolt, Marcos Guilherme dan Nacho Mendez bagi memperkukuh jentera pasukan serta memburu jaringan tambahan selepas kelebihan agregat dirapatkan kepada 3-1.
Manuel Hidalgo kembali membangkitkan sorakan penyokong JDT apabila meledak gol pada minit ke-59 menerusi penyudah kemas selepas pantulan bola hasil tepisan kurang sempurna penjaga gol DPMM untuk mengubah kedudukan menjadi 2-1 memihak JDT.
JDT terus memperkukuh cengkaman apabila meledak dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Oscar Arribas pada minit ke-64 sebelum Jairo menambah jaringan pada minit ke-66, sekali gus melebarkan jurang kepada 4-1.
JDT menambah derita DPMM apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-86 selepas bola terkena tangan pemain lawan di dalam kotak penalti. Daniesh Amirruddin yang diberi kepercayaan untuk mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakan penalti untuk meletakkan JDT selesa mendahului 5-1.
Marcos Guilherme menutup pesta gol JDT dengan meledak jaringan pada masa kecederaan selepas menyambar sepakan sudut sekali gus mengubah kedudukan menjadi 6-1.
Kedudukan 6-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan JDT melangkah ke pentas final dengan kemenangan agregat 8-1.
Harimau Selatan kini hanya menunggu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Selangor FC atau Kuching City FC untuk mengetahui lawan mereka dalam perebutan kejuaraan Piala FA Malaysia.


