Penyokong Selangor FC menerima satu perkhabaran melegakan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City apabila penyerang utama pasukan, Chrigor Moraes dilihat bersama rombongan Gergasi Merah yang berlepas ke Kuching pada Sabtu.
Perkembangan itu pastinya mengundang kelegaan dalam kalangan penyokong Selangor yang sebelum ini tertanya-tanya mengenai status penyerang dari Brazil tersebut susulan insiden kad merah ketika berdepan Star City minggu lalu.
Layangan kad merah itu mencetuskan persoalan sama ada Chrigor bakal terlepas aksi penting menentang Kuching City yang bakal menentukan pasukan untuk mara ke pentas final Piala FA.
Bagaimanapun, sekeping foto yang dimuat naik menerusi laman media sosial rasmi Selangor FC memaparkan kelibat Chrigor bersama rakan sepasukan ketika rombongan Gergasi Merah berlepas ke Kuching sehari sebelum perlawanan.
Kehadiran penyerang itu bersama skuad yang berlepas ke Sarawak memberikan petunjuk positif buat Selangor untuk mendapatkan khidmatnya dalam perlawanan tersebut.
Ini kerana penggantungan akibat kad merah yang diterimanya dijangka hanya berkuat kuasa dalam aksi Liga Super akan datang dan tidak menjejaskan penyertaannya dalam kejohanan berbeza seperti Piala FA.
Sekiranya diturunkan, kehadiran Chrigor pastinya menjadi tambahan penting buat jentera serangan Selangor dalam usaha memburu keputusan positif di gelanggang lawan.
Selangor kini perlu memberikan aksi terbaik menentang Kuching City bagi memastikan impian mereka untuk kembali beraksi di pentas final Piala FA menjadi kenyataan.


