Piala FA

Jamie McAllister Yakin DPMM Mampu Kejutkan JDT

Web 20261107 212035 0000 Jamie McAllister Yakin DPMM Mampu Kejutkan JDT
DPMM FC
Advertisements

Ketua jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister percaya anak buahnya masih berpeluang mencipta kejutan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala FA 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Meskipun ketinggalan agregat 0-2, McAllister menegaskan pasukannya perlu turun dengan penuh keyakinan dan berusaha mendapatkan jaringan awal bagi menghidupkan peluang untuk mara ke pentas final.

Beliau turut menyifatkan permulaan musim yang positif sebagai satu suntikan semangat buat pemain menjelang pertemuan menentang juara bertahan itu.

“Kami memulakan musim ini dengan cukup baik selepas berjaya menewaskan beberapa pasukan yang kuat. Para pemain kini berada pada tahap keyakinan yang tinggi dan berada dalam keadaan yang baik.

“Kami juga tidak sabar untuk menghadapi aksi timbal balik menentang pasukan yang cukup kuat seperti JDT. Walaupun ketinggalan agregat 0-2, kami perlu turun dengan kesungguhan dan menunjukkan keazaman untuk mendapatkan gol pertama. Ia bukan tugas mudah, tetapi kami melihatnya sebagai satu cabaran yang dinantikan.”

Dalam perkembangan berkaitan skuad, McAllister mengesahkan masih terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan, namun tidak menolak kemungkinan satu atau dua pemain kembali memperkuatkan pasukan.

“Kami masih mempunyai beberapa pemain yang mengalami kecederaan, namun saya tidak mahu mendedahkan nama mereka buat masa ini. Bagaimanapun, mungkin ada seorang atau dua pemain yang kembali memperkuatkan pasukan.

“Bagi pemain yang tersedia, mereka perlu mengambil peluang untuk turun ke padang, menunjukkan kemampuan masing-masing, melaksanakan tanggungjawab, bekerja keras dan memberikan komitmen sepenuhnya demi mendapatkan keputusan positif dalam aksi timbal balik nanti.”

Mengulas mengenai ketajaman jentera serangan, McAllister turut mengharapkan Delberto dan Mori mampu meneruskan prestasi cemerlang mereka untuk memberikan ancaman kepada benteng pertahanan Harimau Selatan.

“Saya berharap begitu. Kedua-duanya memulakan musim ini dengan cukup baik dan telah menghasilkan banyak jaringan.

“Namun, kejayaan itu adalah hasil usaha seluruh pasukan. Pemain di bahagian tengah dan pertahanan turut memainkan peranan dalam membantu jentera serangan.

“Kami perlu memastikan pasukan kekal tersusun, berdisiplin dari segi formasi dan pada masa sama mengekalkan ancaman menerusi pemain-pemain di bahagian hadapan.

“Delberto dan Jordan mendapat manfaat daripada prestasi keseluruhan pasukan yang baik serta peluang yang berjaya dicipta untuk mereka menjaringkan gol. Ini merupakan usaha kolektif seluruh pasukan.”

Untuk rekod, JDT membawa bekalan dua jaringan selepas menewaskan DPMM FC 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei, pada 23 Oktober lalu.

Penyerang natiralisasi kebangsaan, Bergson da Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-21 sebelum Eddy Israfilov menggandakan kelebihan Harimau Selatan pada minit ke-72.

Malah, rekod pertemuan turut memihak kepada JDT apabila skuad Harimau Selatan sebelum ini menewaskan DPMM 3-0 dalam saingan Liga Super pada 4 September lalu, selain mencatat kemenangan dengan keputusan sama pada pertemuan Mac 2026. 

Aksi timbal balik separuh akhir kedua itu dijadualkan berlangsung pada Ahad, 8 November 2026, jam 8.15 malam.