Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Belasah Iraq
UltraSukan
Malaysia NT

Selepas menewaskan Syria dalam aksi pembukaan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Wanita B-17, Malaysia meneruskan momentum kemenangan apabila sekali lagi mencatat keputusan positif dengan menundukkan Iraq dalam aksi kedua.

Qistina Fais diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten pada perlawanan ini, manakala Lim You dan Qaseh Riana menjadi sandaran utama di jentera serangan bagi memburu jaringan buat Malaysia.

Sementara itu, Iraq menaruh kepercayaan kepada Asmaa Shivan untuk mengawal gawang mereka, selepas pasukan itu dibelasah India 14-0 dalam aksi pembukaan.

Perlawanan bermula dengan aksi terbuka apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, namun kecekapan penjaga gol serta ketangkasan barisan pertahanan masing-masing berjaya memastikan gawang terus kekal tidak dibolosi.

Ketika kedua-dua pasukan rancak melancarkan serangan, Malaysia berjaya memanfaatkan peluang terhidang apabila Aisyah Nur Iman meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-19. Beliau menyambar sepakan sudut yang diambil Nissriena Batrissya untuk menghasilkan jaringan pembukaan dan memberikan Malaysia kelebihan 1-0.

Selepas jaringan tersebut, Malaysia terus menggandakan asakan ke kubu Iraq bagi mencari jaringan seterusnya, namun penjaga gol mereka, Asmaa Shivan, tampil cemerlang dengan beberapa kali menggagalkan peluang skuad negara.

Ketika separuh masa pertama hampir tamat, Malaysia berjaya menggandakan kelebihan menerusi penyudah Qaseh Riana yang menyempurnakan hantaran tepat daripada Lim You, sekali gus memastikan skuad negara memasuki waktu rehat dengan kelebihan 2-0.

Bersambung di babak kedua, Malaysia melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan penyerang berbisa, Keisha Adeliena, bagi menambah sengat di jentera serangan dan melebarkan lagi jurang jaringan.

Selepas melancarkan serangan bertali arus, Malaysia akhirnya berjaya menambah jaringan pada minit ke-58 menerusi Lim You yang melepaskan sepakan lambung cantik untuk menewaskan penjaga gol Iraq, sekali gus meletakkan skuad negara selesa mendahului 3-0.

Jaringan tersebut menyuntik semangat buat Malaysia untuk terus memburu gol seterusnya dengan menguasai permainan serta melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Iraq.

Pemain gantian, Aisha Lynn menambah derita Iraq apabila meledak gol keempat Malaysia pada minit ke-88 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol.

Keputusan 4-0 kekal hingga wisel penamat dibunyikan tanpa sebarang tambahan jaringan, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya Malaysia selepas skuad negara mendominasi sepenuhnya permainan pada separuh masa kedua.

Kemenangan 4-0 ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Malaysia dalam kempen kelayakan selepas sebelum ini menundukkan Syria 1-0 pada aksi pembukaan. Skuad negara kini akan meneruskan misi memburu slot ke Piala Asia Wanita B-17 dengan aksi terakhir Kumpulan E menentang India.