Skuad wanita Malaysia B-17 berjaya menundukkan pasukan Syria dengan keputusan 1-0 di Stadium MP Selayang pada Isnin dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia Wanita B-17.
Malaysia membariskan Nur Ain Qaisara di bahagian penjaga gol dan Nur Qistina menggalas lilitan kapten manakala sementara bintang ternama, Lim You berada di bangku simpanan.
Sementara itu, Syria menurunkan Media Housain di benteng terakhir dan Tasneem Alktaish sebagai ayam tambatan utama skuad tersebut.
Malaysia Tigress tampak menguasai perlawanan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu Syria namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan negara tersebut.
Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan meskipun kedua-dua pasukan melepaskan beberapa rembatan kencang ke gawang lawan masing-masing.
Pada penghujung separuh masa pertama, Syria tampak melepaskan satu rembatan kencang menerusi ayam tambatan namun percubaan tersebut berjaya ditepis oleh penjaga gol Malaysia.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-0.
Bersambung babak kedua, Malayan Tigress terus mengganas mencari gol namun jaringan kekal tidak muncul.
Syria tampak tidak berdepan masalah beraksi di halaman lawan apabila berjaya menahan semua asakan dan sokongan para penyokong setia Malaysia.
Akhirnya, gol muncul pada penghujung separuh masa kedua hasil ledakan Qaseh Riana pada minit ke-80 hasil hantaran lintang cantik bintang muda, Lim You.
Kedua-dua penyerang tersebut merupakan pemain gantian dalam perlawanan ini sekali gus memberikan impak positif apabila dimasukkan dan menamatkan aksi di Stadium MP Selayang dengan keputusan 1-0.