Meskipun menduduki tempat ketiga, Malaysia mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan FIFA ASEAN Cup.
Persembahan anak buah Tan Cheng Hoe dilihat cemerlang kerana pasukan itu bukan saja kekal tanpa kalah sepanjang kejohanan.
Malah, lebih menarik, gawang Harimau Malaya juga gagal dirobek pihak lawan dengan tempoh 360 minit. Ini termasuk perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Vietnam.
Hal ini berlaku kerana persembahan cemerlang benteng Malaysia diterajui kapten, Dion Cools dan pemain pertahanan baru Johor Darul Ta’zim (JDT), Brad Tapp.
Aksi kental dua pemain itu bersama Quentin Cheng, La’Vere Corbin Ong, Daniel Ting, Syahmi Safari dan Ubaidullah Shamsul Fazili memastikan Malaysia tidak dibolosi sepanjang kempen Kumpulan A.
Meskipun Cools kemudiannya tidak dapat beraksi kerana ada kecemasan peribadi dan Tapp direhatkan, gandingan Ubaidullah dan Harith Haiqal Adam Afkar memastikan gawang negara tidak bolos.
Persembahan penjaga gol negara, Syihan Hazmi Mohamed turut menyumbang kepada dua rekod berkenaan. Syihan membuktikan mengapa beliau masih penjaga gol utama negara dengan tampil cemerlang dalam aksi menentang Indonesia, Singapura dan Vietnam.
Jentera serangan turut menyumbang kepada kempen cemerlang Malaysia dengan menjaringkan 10 gol. Bergson da Silva menjadi penjaring terbanyak dengan menyumbat empat gol.