Pertahanan Harimau Malaya serta Johor Darul Ta’zim (JDT), Brad Tapp memiliki pertalian yang kuat dengan Malaysia menerusi susur galur dari sebelah ibunya.
Nama Brad Tapp berada dalam senarai 23 pemain Harimau Malaya untuk menghadapi FIFA ASEAN Cup di Jakarta, Indonesia bermula Jumaat ini selepas mendapat kelulusan daripada FIFA bagi mewakili Malaysia baru-baru ini.
Tonggak berusia 25 tahun tersebut memiliki kelayakan untuk menyarung jersi Harimau Malaya menerusi pertalian darah dengan Malaysia melalui ibunya yang dilahirkan di Pulau Pinang dan membolehkan beliau bergelar pemain negara.
Latar belakang tentang susur galur Brad Tapp telah dikongsikan oleh pihak Malaysia National Team, sekali gus menjawab persoalan peminat Harimau Malaya mengenai status bekas pemain Central Coast Mariners itu bersama skuad negara.
Kehadiran Brad Tapp ini bakal memberikan pilihan tambahan buat jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe bagi membina gandingan ampuh di benteng pertahanan bersama pemain lain seperti Harith Haiqal, Ubaidullah dan Dion Cools.
Malah, keupayaan Brad Tapp untuk beraksi di posisi tengah turut memberi lebih banyak pilihan buat Tan Cheng Hoe bagi merangka strategi alternatif sekiranya diperlukan oleh skuad kebangsaan pada perlawanan-perlawanan mendatang.
Malaysia akan membuka tirai FIFA ASEAN Cup menentang Bangladesh pada Jumaat, 25 September ini sebelum tugasan hebat hadapi tuan rumah, Indonesia dijadualkan selang 3 hari kemudian dan aksi penutup kumpulan bertemu Singapura pada 1 Oktober.