Aksi Kumpulan B Shopee Cup antara Port FC dan Persib Bandung dicemari dengan insiden ejekan perkauman membabitkan pemain pelawat, Gabriel Mutombo.
Portal VIVA melaporkan insiden itu dilaporkan kepada pengadil perlawanan dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin. Selepas menerima aduan daripada Mutombo, Nazmi menghentikan perlawanan dan melaporkan perkara itu kepada komisioner perlawanan.
Jurulatih Persib, Igor Tolic kemudiannya mengambil langkah mengeluarkan bekas bek tengah Ratchaburi itu pada minit ke-73. Pemain tengah Indonesia, Thom Haye masuk sebagai pengganti Mutombo.
Tolic memaklumkan langkah mengeluarkan bek tengah berusia 30 tahun itu dibuat bukan saja kerana mengambil kira faktor emosi pemain berkenaan.
Malah, jurulatih Croatia itu sedar Mutombo sudah memiliki kad kuning. Justeru, Tolic melihat langkah mengeluarkan tonggak pertahanan Persib itu sebagai langkah terbaik lebih-lebih lagi dengan mengambil kira insiden ejekan yang dinyatakan.
“Saya melihat Mutombo sedikit gugup. Saya menariknya keluar kerana dia sudah mendapat kad kuning. Kami juga mempertimbangkan kemungkinan dia mendapat kad kuning kedua.
“Kami ingin menyelesaikan perlawanan dengan 11 pemain, jadi saya menggantinya,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Rakan sepasukan Mutombo, Luka Menalo mengakui tidak mendengar ejekan tersebut ketika beraksi di atas padang. Pada masa sama, beliau memberi sokongan kepada bek tengah tersebut.
“Gabi mengeluhkan bahwa salah satu pemain mereka mengucapkan kata-kata bernada rasis (kepadanya) dalam perlawanan.
“Saya tidak berada cukup dekat dan tidak mendengarnya tetapi Gabi adalah teman dan rakan sepasukan saya. Saya sepenuhnya mendukungnya,” katanya.
Menalo turut menggesa Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menyiasat perkara tersebut dan menjatuhkan hukuman kepada pelaku tindakan jelik itu.
Persib bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Port 3-1 dalam perlawanan itu.