Pemain Laos Ditahan Polis
MakanBola
Lao FF

Seorang pemain Laos ditahan polis atas dakwaan mengatur perlawanan semasa kempen ASEAN Hyundai Cup 2026.

The Guardian melaporkan Soukpachan Lueanthala kini dalam tahanan polis Laos. Penahanan itu dibuat selepas semua pemain Laos disoal siasat berhubung tuduhan mengatur perlawanan yang berlaku dalam kejohanan itu.

Persekutuan Bola Sepak Laos (LFF) membuat laporan polis pada Ogos lalu susulan dakwaan wujud unsur pengaturan perlawanan membabitkan empat aksi anak buah Vladica Grujic.

Laos tewas dalam semua aksi Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup. Selepas dibelasah Thailand 5-0, Laos juga mengalami kekalahan besar di tangan Malaysia, Filipina dan Myanmar.

Menurut satu sumber rapat dengan arena bola sepak Laos, Soukpachan disyaki memberi arahan kepada pemain-pemain lain. Dia juga disyaki menjadi penghubung antara pemain dan sindiket perjudian yang terlibat.

Sehingga artikel ini ditulis, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan LFF belum memberi maklum balas berhubung perkembangan itu. Bekas Pengarah Teknikal LFF, Steve Darby menyifatkan situasi ini sebagai satu berita menyedihkan buat Laos.

Darby yang pernah melatih Perak dan Kelantan dalam Liga Malaysia (Liga M) mendedahkan ada bekas pemain Laos yang terlibat dengan sindiket perjudian dan mengawal pemain tempatan.

“Saya jadi jurulatih kebangsaan tak lama sebelum penggantungan 2017 dikenakan kepada para pemain. Terdapat sekumpulan bekas pemain kebangsaan yang mengawal pemain tempatan dan menjadi orang tengah untuk sindiket lebih besar (Singapura dan Vietnam).

“Sedih kerana terdapat ramai orang yang bagus dalam LFF dan ramai pemain jujur,” katanya di X.

Berita ini dijangka memberi tamparan hebat kepada Laos. Sebelum ini, imej bola sepak negara itu terjejas pada 2022 apabila 45 orang pemain dikenakan penggantungan seumur hidup oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tindakan tegas itu diambil FIFA selepas kesemua pemain didapati bersalah atas dakwaan mengatur perlawanan ketika tempoh kalendar antarabangsa.

Dua tahun sebelumnya, AFC mengenakan penggantungan seumur hidup kepada Tipphonexay Inthavongsa atas kesalahan cuba mempengaruhi keputusan perlawanan Laos menentang Hong Kong pada 2017.