FA Laos Buat Laporan Polis
MakanBola
Lao FF

Arena bola sepak ASEAN dikejutkan dengan berita badan induk bola sepak Laos membuat laporan polis baru-baru ini.

TheThao247 melaporkan laporan polis dibuat Persekutuan Bola Sepak Lao (LFF) selepas mengesyaki wujud unsur pengaturan perlawanan membabitkan empat perlawanan pasukan itu dalam saingan ASEAN Hyundai Cup.

LFF kemudiannya membuat siasatan dalaman dengan memanggil semua pemain dan pegawai untuk memberi keterangan pada 2 dan 6 Ogos lalu.

Setelah itu, LFF telah menghantar satu surat kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan selanjutnya. Siasatan tersebut bertujuan menyemak sama ada semua perlawanan Laos dicemari dengan unsur pengaturan perlawanan atau sebaliknya.

LFF turut memetik beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Pendidikan Fizikal Laos 2019 dan Kanun Jenayah Laos 2017 sebagai asas buat badan induk itu membuat laporan.

Sehingga artikel ini ditulis, LFF tidak menyatakan sama ada unsur pengaturan perlawanan berlaku atau tidak. Badan induk bola sepak Laos itu juga tidak mendedahkan identiti individu yang disyaki terlibat.

Artikel 99 Peraturan ASEAN Hyundai Cup 2026 menyatakan sekiranya benar wujud kesalahan seperti pengaturan perlawanan, mana-mana pihak termasuk pasukan bertanding perlu melaporkan perkara tersebut kepada jawatankuasa integriti kejohanan.

Laporan tersebut kemudiannya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Etika dan Disiplin Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk tindakan selanjutnya.

Sekiranya dakwaan itu benar, hal ini dijangka memberi tamparan hebat kepada Laos. Sebelum ini, imej bola sepak negara itu terjejas pada 2022 apabila 45 orang pemain dikenakan penggantungan seumur hidup oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tindakan tegas itu diambil FIFA selepas kesemua pemain didapati bersalah atas dakwaan mengatur perlawanan ketika tempoh kalendar antarabangsa.