Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong memberi bayangan acara pertarungan saingan tersebut bakal diadakan di Malaysia.
Chatri memaklumkan perbincangan telah diadakan antara entiti tersebut dan kerajaan Malaysia berhubung penganjuran acara ONE Championship.
Beliau memaklumkan sekiranya semua berjalan lancar, tidak mustahil acara ONE Championship bakal diadakan di Malaysia pada tahun hadapan.
“Satu peluang yang besar, kerajaan Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan pasukan (berhubung penganjuran acara ONE Championship).
“Tempoh enam bulan ini dijangka lebih menarik. Ada peluang besar (dianjurkan) pada tahun hadapan,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.
Chatri turut mengakui merasa terkejut kerana Malaysia belum pernah menjadi tuan rumah untuk mana-mana acara ONE Championship.
Ini kerana sambutan peminat terhadap saingan tersebut cukup hebat di Malaysia. Ini ditambah dengan kehadiran ramai jaguh negara seperti Johan Ghazali, Rifdean Masdor dan juara dunia, Aliff Rakib.
“Ianya cukup mengejutkan kerana di Malaysia, ramai orang menggilai ONE Championship. Ini kerana kita ada Jojo (nama panggilan Johan), kita ada Aliff, kita ada Adam (Rakib) dan kita ada Rifdean.
“Kita ada ramai jaguh tetapi kita tidak tahu (kenapa itu tidak berlaku). Bila Rodtang (Jitmuangnon) datang ke Malaysia, semua orang suka dan gilakan Rodtang,” tambahnya.
Sambutan penyokong dijangka lebih hangat apabila dua jaguh Malaysia akan berentap pada Disember ini. Johan dijangka berentap dengan Johan Estupinan pada 11 Disember.
Ini disusuli pertarungan merebut gelaran juara dunia antara Aliff dan legenda Thailand, Prajanchai Pongsuphan PK pada 18 Disember ini.


