Izzuddin-Sze Fei Layak Ke BWF World Tour Finals
UltraSukan
BAC 2025

Beregu lelaki profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, berjaya mengesahkan kelayakan ke kejohanan penutup musim, BWF World Tour Finals 2026.

Kejayaan itu menjadikan mereka wakil Malaysia pertama yang layak ke kejohanan tersebut dan bakal berentap dengan pasangan terbaik dunia di Hangzhou, China, pada Disember ini.

Sze Fei-Izzuddin mengesahkan slot ke kejohanan berprestij itu selepas menewaskan pasangan Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, dalam aksi pusingan pertama Terbuka Perancis 2026.

Pasangan negara itu mencatat kemenangan 21-17, 19-21, 21-17 untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan berstatus Super 750 tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial pada Rabu, Shuttlehard mengesahkan kejayaan Sze Fei-Izzuddin menjadi pasangan Malaysia pertama yang layak ke BWF World Tour Finals 2026.

Sze Fei-Izzuddin sebelum ini turut muncul naib juara BWF World Tour Finals 2024, sekali gus membuka peluang buat mereka untuk sekali lagi mencabar kejuaraan pada edisi kali ini.

Dalam perkembangan sama, satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut berpeluang menyusul ke Hangzhou berdasarkan kedudukan mereka dalam persaingan Race to World Tour Finals.

Aaron-Wooi Yik kini perlu meneruskan kempen dengan keputusan positif bagi mengukuhkan peluang memburu slot ke kejohanan penutup musim itu.