Juara Di Indonesia, Ranking Nur Izzuddin-Sze Fei Naik Tinggi
UltraSukan
BA Malaysia

Ranking beregu lelaki Malaysia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melonjak tinggi selepas muncul juara di Indonesia Open 2026.

Nur Izzuddin-Goh Sze Fei mempamerkan persembahan memukau di pentas Indonesia Open 2026 dengan merangkul gelaran juara selepas menewaskan beregu tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin di perlawanan akhir pada Ahad.

Pertarungan yang memakan masa 49 minit itu menyaksikan Nur Izzuddin-Sze Fei diangkat selaku juara hasil kemenangan 13-21, 21-18, 21-10 untuk membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$107,300 iaitu sekitar RM432,000.

Malah, kemenangan di Istora Senayan itu juga menambah pungutan mata ranking bagi Izzuddin-Sze Fei sebanyak 5,400 mata sekali gus membantu pasangan profesional ini mengumpul 76,937 mata dan melonjak dua anak tangga.

Kemas kini ranking BWF minggu ini menyaksikan lonjakan 2 anak tangga meletakkan Izzuddin-Sze Fei di ranking ke-6 dunia, memintas rakan senegara, Wei Chong-Kai Wun dan Sabar Gutama-Moh Reza Isfahani dari Indonesia.

Dengan ini, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei bergelar beregu lelaki nombor dua Malaysia selepas berjaya memintas Man Wei Chong-Tee Kai Wun namun masih di belakang Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghuni ranking ke-3 dunia.

Ranking nombor 1 dunia bagi beregu lelaki masih dikuasai oleh pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae tatkala Fajar Alfian-Shohibul Fikri dari Indonesia berada di kedudukan ke-2 diikuti oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik.