Bekas beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani merangkul gelaran juara Indonesia Open 2026.
Ini selepas mereka menewaskan wakil tuan rumah, Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin di pentas final yang diadakan di Istora Gelora Bung Karno.
Selepas bergelar juara Indonesia Masters 2026 pada Januari lalu, Sze Fei-Izzuddin berpeluang menambah satu lagi gelaran juara di bumi Indonesia.
Lebih menarik, mereka bertemu lawan sama di final, Raymond-Nikolaus. Sze Fei-Izzuddin tenang menewaskan mereka dengan keputusan 21-19, 21-13.
Set pertama menyaksikan permainan pantas yang digunakan Raymond-Nikolaus berjaya memerangkap beregu negara. Ini membolehkan beregu muda Indonesia itu mengungguli set pertama dengan keputusan 21-13.
Sze Fei-Izzuddin cuba bangkit pada set kedua. Selepas pada satu ketika ketinggalan pada kedudukan 8-13, mereka berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan 15-15.
Sze Fei-Izzuddin yang berstatus beregu kesembilan dunia memastikan set kedua dalam genggaman dengan keputusan 21-18. Ini memaksa perlawanan dibawa ke set penentuan untuk menentukan pemenang.
Set ketiga menyaksikan beregu negara terus memanfaatkan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Raymond-Nikolaus. Meskipun cuba dicabar wakil tuan rumah, Sze Fei-Izzuddin memastikan kemarau 18 tahun Malaysia bergelar juara dalam acara beregu lelaki berakhir dengan keputusan 21-10.
Kemenangan ini menyaksikan beregu negara meraih hadiah kemenangan berjumlah AS$107,300 (RM432,000). Raymond-Nikolaus pula terpaksa berpuas hati dengan naib juara dengan hadiah kemenangan berjumlah AS$50,750 (RM204,000).
Kejayaan bergelar juara turut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin bakal menghuni kedudukan keenam dunia menerusi semakan ranking terbaru Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) pada minggu hadapan.