Izzuddin-Sze Fei Rangkul Gelaran Juara Indonesia Masters, Benam Beregu Tuan Rumah
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu lelaki kedua Malaysia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dipaksa bekerja keras sebelum bergelar juara Indonesia Masters 2026.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan beregu muda tuan rumah, Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin di Istora Senayan, Jakarta.

Izzuddin-Sze Fei berharap dapat membuka tahun 2026 dengan gelaran juara. Meskipun begitu, Raymond-Nikolaus turut menyimpan cita-cita sama.

Ini kerana beregu Indonesia itu memburu gelaran juara BWF Super 500 kedua mereka selepas menjuarai Australian Open 2025.

Set pertama menyaksikan Izzuddin-Sze Fei mendahului pada kedudukan 12-9. Meskipun cuba dikejar Raymond-Nikolaus, bekas beregu nombor satu dunia itu menang dengan keputusan 21-19.

Set kedua menyaksikan Izzuddin-Sze Fei semakin sukar dicabar dengan mendahului pada kedudukan 11-4. Kelebihan itu terus dipertahankan bekas juara India Open itu sebelum menang dengan keputusan 21-13.

Kejayaan ini menyaksikan Izzuddin-Sze Fei meraih hadiah kemenangan berjumlah AS$39,500 (RM158,000).

Mereka turut memastikan Malaysia kekal juara acara beregu lelaki selepas melakukannya menerusi Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada 2025.

Raymond-Nikolaus pula terpaksa berpuas hati dengan status naib juara dan menerima hadiah berjumlah AS$19,000 (RM76,000).

Izzuddin-Sze Fei menjadi wakil Malaysia ketiga bergelar juara Indonesia Masters selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M. Thinaah.