Pearly Tan-M. Thinaah Muncul Juara Indonesia Masters, Jaguh Jepun Tarik Diri
UltraSukan
BA Thailand

Beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah meraih gelaran pertama tahun 2026 apabila muncul juara Indonesia Masters.

Kejayaan ini dicapai selepas wakil Jepun, Arisa Igarashi dan Miyu Takahashi menarik diri daripada aksi final kejohanan itu.

Perkara ini disahkan menerusi semakan laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) untuk saingan Indonesia Masters.

Kejayaan ini bukan saja menyaksikan Pearly-Thinaah meraih kejuaraan BWF Super 500 yang keempat dalam karier mereka.

Malah, beregu wanita nombor dua dunia itu turut mengakhiri kemarau kejuaraan Malaysia dalam acara beregu wanita selama 15 tahun.

Kali terakhir beregu wanita negara muncul juara Indonesia Masters ialah tahun 2011 menerusi Vivian Hoo dan Woon Khe Wei.

Mereka bergelar juara tahun tersebut dengan mengalahkan pilihan kelapan kejohanan dari China, Bao Yixin dan Zhong Qianxin.