Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menjatuhkan denda kepada wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) berhubung tiga kesalahan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 5 November 2026. Ketiga-tiga kes berpunca daripada perlawanan peringkat liga Liga Juara-Juara Asia Elite 2026/27 yang berlangsung pada 15 September 2026.
Kesalahan melibatkan aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang wakil Thailand, Buriram United. Dalam kesalahan pertama, AFC mendapati wakil JDT menyebabkan babak kedua perlawanan lewat dimulakan selama dua minit. Ia melanggar peraturan kiraan masa rasmi di bawah Artikel 15 Manual Operasi Pertandingan AFC.
Ini merupakan kesalahan ketiga Harimau Selatan bagi kategori tersebut dalam tempoh pengulangan kesalahan. Kelab diarahkan membayar denda USD2,250 (RM9,130) mengikut Artikel 15.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.
Insiden kelewatan yang sama turut membawa tindakan terhadap ketua jurulatih JDT, Francisco Javier Muñoz Llompart. AFC mendapati beliau gagal memastikan pemain menyelesaikan persiapan dan keluar dari bilik persalinan mengikut kiraan masa rasmi, sehingga babak kedua lewat dua minit.
Jurulatih warga Sepanyol itu didenda USD1,500 (RM6,090). Hukuman ini dikenakan kerana melanggar Artikel 11.2 Pekeliling Disiplin AFC bagi ACL Elite 2026/27, dibaca bersama Artikel 15.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.
Kesalahan ketiga pula melibatkan salah laku pasukan di bawah Artikel 55 Kod Disiplin dan Etika AFC. Dalam perlawanan tersebut, enam pemain kelab dari Johor itu dikenakan tindakan oleh pengadil. Ini merupakan kesalahan keenam JDT bagi kategori tersebut dalam tempoh pengulangan kesalahan.
Atas kesalahan itu, wakil Malaysia berkenaan didenda USD9,450 (RM38,340) di bawah Artikel 55.1 Kod Disiplin dan Etika AFC, dibaca bersama Artikel 3.1 Pekeliling Disiplin AFC bagi ACL Elite 2026/27.
Secara keseluruhan, denda bagi ketiga-tiga kesalahan berjumlah USD13,200, atau kira-kira RM53,550. Kesemua denda perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Disiplin dan Etika AFC.

