Bintang sepak takraw Malaysia, Syahir Rosdi bakal beraksi dalam Takraw Thailand League (TTL) pada Disember ini.
Tekong Melaka Titans itu akan mewakili Chonburi Pattaya Takraw Club dalam saingan liga sepak takraw Thailand itu. Perkara ini diumumkan TTL dalam satu hantaran rasmi di Instagram.
Berita sama turut dikongsikan pengacara Astro Arena, Hafizal Hamad semasa menjadi pengulas perlawanan Sepak Takraw League (STL) antara Perak Bisons dan ATM Guardians pada 20 November lalu.
Lebih menarik, berita penyertaan Syahir dalam TTL turut dikongsikan Harimau Abroad. Tekong utama negara itu bukan satu-satunya pemain Melaka Titans yang akan beraksi dalam kejohanan itu.
Syahir bakal disertai rakan sepasukan dan seorang lagi tekong Malaysia, Zarif Merican. Zarif bakal beraksi untuk Navy-Samut Prakan Takraw Club.
Bintang sepak takraw Laos, Sukkaserm Chanthaheang pula akan mengibar cabaran bersama Chidchon Udonthani Takraw Club.
Ketiga-tiga pemain akan mewakili kelab masing-masing apabila TTL menganjurkan pusingan kelayakan Road to TTL yang akan berlangsung dari 4 hingga 7 Disember ini.
Road to TTL menyaksikan 21 kelab mengambil bahagian dalam pusingan itu.


