Luis Garcia Gariskan Pelan Jangka Panjang JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia memaklumkan kelab memiliki pelan jangka panjang untuk membawa pasukan itu lebih ke hadapan.

Hal ini dikongsikan legenda Liverpool itu dalam satu temu bual bersama akhbar United Kingdom, Daily Mail baru-baru ini.

Meskipun terus melakar pelbagai pencapaian saban tahun, JDT sentiasa berusaha untuk membawa pasukan itu ke tahap berbeza. Selain menambah baik aspek komersial dan pembangunan akar umbi, Garcia melihat JDT+ sebagai kunci untuk merealisasikan pelan jangka panjang pasukan.

Ini kerana JDT+ dilihat platform terbaik untuk menghubungkan Harimau Selatan dengan para penyokong dari serata dunia.

“Kita sentiasa cuba merancang lebih awal. Kita mahu pasukan-pasukan belia kita lebih berjaya dan meraih trofi. Kita juga melihat perjanjian-perjanjian komersial untuk tahun-tahun berikutnya lebih awal, kita sudah ada perjanjian-perjanjian penajaan utama.

“Kita juga mahu berhubung dengan peminat-peminat dari seluruh dunia. Kita memperkenalkan JDT+ untuk memberi akses di belakang tabir kepada penyokong bukan saja di Johor tetapi juga dokumentari,” katanya.

Garcia berharap dengan pelan jangka panjang tersebut, ini bukan saja akan meletakkan JDT berada pada kedudukan yang lebih kukuh.

Malah, beliau melihat ini sebagai pemangkin untuk merealisasikan impian jangka panjang JDT termasuk bergelar juara Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

“Matlamat saya ialah bila saya kembali ke satu tempat pada masa akan datang, orang akan berterima kasih atas kerja yang kita telah lakukan.

“Sudah tentu, jika kita dapat memenangi Liga Juara-Juara (AFC Elit (ACLE)), itu akan menjadi satu impian (jadi kenyataan),” tambahnya.

Selain JDT, Garcia turut menyentuh perihal pasukan lamanya, Liverpool dan Chelsea yang dibimbing seorang lagi legenda The Reds, Xabi Alonso.