JDT Lancar Platform JDT+
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh jenama pasukan itu dengan melancarkan platform kandungan premium, JDT+.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia menjelaskan JDT+ ialah platform khusus buat para penyokong yang mahu melihat perkara-perkara yang berlaku di belakang tabir Harimau Selatan.

Legenda Liverpool itu turut melihat platform tersebut sebagai peluang buat para penyokong melihat pasukan selatan tanah air itu sebagai sebuah organisasi sukan moden.

“JDT+ merupakan satu lagi langkah penting dalam perkembangan JDT, bukan sahaja sebagai kelab bola sepak, tetapi sebagai sebuah organisasi sukan moden. Ia memberi peluang kepada penyokong kami untuk melihat dengan lebih mendalam apa yang JDT sebenarnya.

“Bukan sekadar perlawanan, tetapi kehidupan seharian pemain, kerja di sebalik tabir, insan-insan di sebaliknya, persediaan, standard dan mentaliti yang menggerakkan kelab ini setiap hari,” katanya.

Garcia turut melihat platform ini selaras dengan visi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk melihat JDT sentiasa di hadapan terutama dari segi inovasi.

“Bagi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, inovasi sentiasa menjadi asas kepada visi JDT. Objektifnya bukan sekadar untuk berjaya di padang, tetapi untuk terus memperbaiki, berkembang dan menetapkan standard baharu.

“JDT+ adalah sebahagian daripada visi itu. Ia mendekatkan penyokong kepada kelab dan membolehkan kami menceritakan kisah JDT dengan lebih mendalam dan autentik. Dan ini baru permulaan,” tambahnya.

Kandungan premium pertama, UNTAMED, sebuah dokumentari berdurasi 76 minit yang ditayangkan secara eksklusif di JDT+ dan bakal bersiaran pada 22 Oktober ini. Pelbagai lagi kandungan menarik bakal menemui para penyokong menerusi platform langganan ini.

Selepas UNTAMED, JDT+ juga akan menampilkan OUTBOUND, siri dokumentari tahunan yang menyusuri kempen JDT FC dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).