Piala FA: JDT Tenang Singkirkan Penang Di Suku Akhir
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tiket separuh akhir Piala FA dengan menewaskan Penang FC dengan keputusan agregat 11-3.

Meskipun memiliki kelebihan agregat 7-2, JDT berharap dapat meneruskan rentak kemenangan. Sebelum ini, mereka berpesta gol menewaskan PKR Svay Rieng dalam saingan peringkat kumpulan Shopee Cup.

Penyerang berbisa Harimau Malaya, Bergson da Silva mengetuai jentera serangan JDT. Penang pula menggunakan taktik 3-4-3 dengan Stefano Brundo mengetuai benteng pelawat.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah berusaha mencari gol awal menerusi Bergson, Shahab Zahedi dan Manuel Hidalgo.

JDT dianugerahkan sepakan penalti apabila pengadil mengesan kekasaran ke atas pemain tuan rumah dalam kotak penalti. Bergson tenang menewaskan Ramadhan Hamid pada minit ke-13.

10 minit selepas itu, giliran Nacho Mendez mencetak nama sebagai penjaring. Dejan Petrovic membuat hantaran yang pantas disudahkan bekas arkitek Sporting Gijon itu melepasi Ramadhan.

Shahab Zahedi meneruskan rentak jaringannya menerusi gol pada minit akhir babak pertama. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, jurulatih JDT, Xisco Munoz memasukkan Stuart Wilkin, Daniesh Amirruddin dan Dani Bolt menggantikan Bergson, Zahedi dan Yago Cesar.

Meskipun merehatkan trio tersebut, Harimau Selatan terus meningkatkan tekanan ke arah kubu Penang yang dikawal Brundo.

Tatkala Penang berusaha menghalang JDT menambah jaringan, Hidalgo merobek gawang pelawat pada minit ke-72. Pemain sayap Harimau Malaya itu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang menerjah jaring.

Stefano Brundo menyumbat gol saguhati menerusi percubaan jarak jauh yang menewaskan Christian Abad pada minit ke-86.

Penang berusaha mengurangkan defisit agregat tetapi keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT mara ke separuh akhir dengan agregat 11-3.