Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima laporan rasmi berhubung kekecohan yang berlaku dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Kuching City FC dan Selangor FC.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman memaklumkan laporan itu akan diteliti bersama dengan laporan rasmi yang dihantar Malaysian Football League (MFL).
“Laporan berkenaan akan diteliti berserta laporan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) serta segala dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara ini dapat ditangani mengikut peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.
“Pada Selasa, 10 November 2026, MFL telah menyerahkan segala maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berkaitan insiden tersebut kepada FAM,” katanya dalam satu kenyataan.
Noor Azman turut memaklumkan FAM memandang serius setiap insiden yang menjejaskan imej bola sepak negara.
“FAM memandang serius setiap insiden yang boleh menjejaskan aspek keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak negara. Sehubungan itu, FAM akan memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya.
“Sebarang keputusan atau hukuman hanya dapat ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti laporan serta bukti berdasarkan peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa,” tambahnya.
Selain MFL, Selangor turut menghantar satu laporan rasmi kepada FAM berhubung insiden kekecohan tersebut.

