Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berpotensi menangguhkan saingan Piala Asia 2027 dari Januari 2027 ke Januari 2028.
SNE Sports melaporkan potensi penangguhan itu timbul susulan konflik yang tercetus antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman.
Seandainya konflik antara kedua-dua pihak tidak reda dalam masa terdekat, ini mengundang persoalan tentang status keselamatan ketika Piala Asia berlangsung.
Situasi ini tidak dibantu dengan siri serangan Houthi terhadap Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap serangan udara yang dilancarkan negara itu terhadap Yaman.
Salah satu tempat menjadi sasaran mereka ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid. Lapangan terbang itu menjadi sasaran selama lima hari dengan serangan terbaru menyaksikan 14 orang terbunuh dan 300 orang lagi cedera.
Susulan itu, banyak syarikat penerbangan memilih menangguhkan semua penerbangan ke Arab Saudi buat masa ini. Malah, banyak negara termasuk Malaysia menasihatkan warga mereka agar menangguhkan perjalanan ke negara itu atas sebab keselamatan.
Sekiranya kejohanan itu ditangguhkan sehingga Januari 2028, ini bakal memberi kesan kepada beberapa orang jurulatih. Jurulatih Australia, Tony Popovic dan jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu memilih melanjutkan kontrak sehingga kempen Piala Asia.
Sekiranya penangguhan itu berlaku, tidak diketahui apa kesan kepada kontrak kedua-dua jurulatih dengan pasukan masing-masing.
AFC dilaporkan mahu menilai situasi tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada menangguhkan atau tidak, Keputusan dijangka diketahui pada pertengahan November ini.
Konflik Arab Saudi-Houthi juga memberi kesan kepada perancangan aksi persahabatan banyak pasukan terutama dari Asia Barat pada November ini.
Misalnya, Indonesia memberi bayangan akan membatalkan aksi persahabatan dengan Jordan dan Kuwait jika situasi keselamatan tidak bertambah baik.
Korea Selatan dan Australia pula masing-masing dilaporkan menilai semula perancangan aksi persahabatan mereka di Arab Saudi, Qatar dan Jordan.