ACLE: Kashiwa Reysol ‘Bantai’ Port Tanpa Pemain Import
MakanBola
Port FC

Kelab Jepun, Kashiwa Reysol hanya memerlukan pemain tempatan untuk membelasah wakil Thailand, Port FC dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) pada Rabu.

Kemenangan besar 5-1 dicatatkan Kashiwa Reysol di laman sendiri ke atas Port, dengan naib juara J-League 1 musim 2025 itu hanya mempertaruhkan kudrat pemain tempatan untuk mengutip tiga mata berharga dalam kempen ACLE.

Kesebelasan utama Kashiwa Reysol terdiri daripada pemain tempatan yang diketuai oleh Taiyo Koga termasuklah 5 pemain gantian manakala Port pula menampilkan bintang kebangsaan Oman, Issam Al-Subhi untuk memimpin jentera serangan.

Pesta gol Kashiwa Reysol bermula seawal minit ke-3 apabila pemain sayap, Tojiro Kubo menyumbat jaringan yang pertama selepas menerima umpanan cantik daripada Kenshin Yuba untuk mengejutkan pasukan pelawat di awal permainan.

Pintu gol Port bocor lagi selang 7 minit kemudian, apabila percubaan Yuki Kakita berjaya menewaskan Michael Falkesgaard sebelum Riki Harakawa meledak jaringan ketiga Kashiwa Reysol di minit ke-15 menerusi sepakan penalti.

Koya Yuruki serta Hinata Yamauchi masing-masing menambah duka Port dengan jaringan keempat (minit ke-26) dan kelima (minit ke-28), sebelum babak pertama berakhir untuk jaguh dari Jepun itu mendahului permainan dengan selesa 5-0.

Tandukan pertahanan Port, Tom Bihr pada minit ke-65 berjaya mengubati sedikit duka pelawat, namun jaringan tersebut bagaimanapun tidak cukup untuk menghalang Kashiwa Reysol dari mencatatkan kemenangan besar 5-1.