ACLE: Port Tewas Tipis Di Tangan Vissel Kobe
MakanBola
Port FC

Wakil ASEAN, Port FC terpaksa akur terlepas peluang memungut satu mata setelah tewas di tangan kelab gergasi Jepun, Vissel Kobe di Bangkok dalam aksi pertama AFC Champions League Elite (ACLE) 2026-2027 pada Rabu.

Kemenangan tipis 2-1 diperoleh Vissel Kobe dalam perlawanan pembukaan ACLE peringkat liga musim ini selepas berjaya menumpaskan Port FC dari Thailand dalam pertembungan penuh sengit yang dilangsungkan di Stadium Thammasat.

Tonggak kebangsaan Thailand, Manuel Bihr serta Peeradol Chamratsamee menjadi sandaran Port untuk mengekang asakan pasukan lawan sementara Vissel Kobe menurunkan 10 pemain tempatan Jepun diketuai oleh Tetsushi Yamakawa.

Pasukan pelawat tidak menunggu lama bagi memimpin perlawanan apabila penyerang, Ren Komatsu bijak membaca tandukan Issei Takahashi sebelum menampan bola mudah ke dalam gawang Port untuk jaringan sulung Vissel Kobe.

Walau bagaimanapun, malang buat Ren Komatsu apabila kesilapan beliau menghadiahkan jaringan penyamaan buat Port pada masa tambahan babak pertama setelah pemain berusia 28 tahun itu tertampan bola masuk gawang sendiri.

Babak kedua bersambung menyaksikan percaturan Vissel Kobe membawa masuk Yoshinori Muto membuahkan hasil apabila penyerang gantian itu hanya memerlukan 6 minit di atas padang untuk menjaringkan gol kedua pelawat.

Tiada tambahan jaringan terhasil selepas itu meskipun Port berusaha keras bagi mengasak Vissel Kobe demi memburu satu mata, namun perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak kelab gergasi dari Jepun tersebut.