Pertemuan Malaysia dan China kali ini mengimbau 3 insiden yang berlaku pada September 2023, kira-kira 3 tahun yang lalu.
Pertemuan yang berlangsung di Stadium Phoenix Hill, Chengdu itu menyaksikan Malaysia berjaya mengikat tuan rumah 1-1 menerusi jaringan Faisal Halim sebelum China menyamakan kedudukan melalui Lin Liangming.
Namun, keputusan seri tersebut bukan satu-satunya perkara yang menjadi perhatian apabila perlawanan itu turut menyaksikan beberapa insiden yang mencuri tumpuan penyokong bola sepak.
Berikut merupakan tiga insiden yang mencetuskan perhatian ketika pertemuan terakhir Malaysia dan China pada 2023.
1. Faisal Halim Terima Tepukan Gemuruh Penyokong China
Antara detik paling istimewa dalam perlawanan tersebut ialah apabila Faisal Halim menerima tepukan gemuruh daripada penyokong China selepas mempamerkan aksi cemerlang di atas padang.
Pemain sayap itu terlebih dahulu meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-11 menerusi penyudah menarik hasil gerakan bersama Akhyar Rashid.
Lebih menarik, jaringan tersebut merupakan gol pertama Harimau Malaya ke gawang China selepas 16 tahun, dengan kali terakhir Malaysia berjaya membolosi gawang pasukan itu ketika tewas 1-5 dalam aksi Piala Asia 2007.
Persembahan bertenaga Faisal sepanjang perlawanan turut mendapat perhatian penyokong tuan rumah yang memberikan tepukan sebagai tanda penghargaan terhadap aksi pemain tersebut.
2. Ambulans Masuk Padang Selepas Pemain China Tercedera
Perlawanan tersebut turut menyaksikan satu insiden mencemaskan apabila ambulans terpaksa memasuki padang selepas pemain pertahanan China, Li Shuai mengalami kecederaan akibat pertembungan dengan Syahmi Safari.
Insiden yang berlaku pada minit ke-85 itu menyaksikan Li Shuai terkulai di atas padang sebelum pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan kepadanya.
Pemain tersebut kemudiannya dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, perkembangan susulan melaporkan bahawa Li Shuai berada dalam keadaan stabil selepas insiden tersebut.
3. Penyokong China Berang, Mahu Duit Tiket Dikembalikan
Keputusan seri 1-1 itu turut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong China yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Phoenix Hill.
China ketika itu berada di ranking ke-80 dunia, jauh mengatasi Malaysia, sekali gus menyaksikan penyokong tuan rumah meletakkan harapan tinggi untuk menyaksikan kemenangan pasukan mereka.
Namun, kegagalan China mendapatkan tiga mata di laman sendiri menyebabkan segelintir penyokong meluahkan kemarahan selepas wisel penamat.
Malah, terdapat penyokong yang dilaporkan meminta wang tiket dikembalikan kerana kecewa dengan keputusan perlawanan, lebih-lebih lagi selepas harga tiket aksi tersebut dianggap mahal.
Penolong jurulatih China, Zheng Zhi turut menjadi sasaran kemarahan apabila segelintir penyokong bertindak memakinya selepas keputusan seri tersebut.
Kini, selepas lebih tiga tahun, kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi dengan Harimau Malaya berpeluang menguji kemampuan mereka menentang lawan yang pernah mencetuskan pelbagai cerita di Chengdu.


