Penyerang Colombia, Ayron del Valle mencetuskan keriuhan dalam kalangan penyokong Selangor apabila memuat naik gambar beliau berlatih di pusat latihan pasukan itu.
Gambar yang dikongsikan penyerang berusia 37 tahun itu di Instagram menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong.
Gambar itu disertakan dengan satu kenyataan ringkas dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud, “Sentiasa bersedia.”
Walau bagaimanapun, seorang peminat bernama Syafiq Qi percaya gambar tersebut sebenarnya gambar lama beliau.
Dia percaya Del Valle menaikkan gambar itu mungkin kerana merindui tempoh semasa bersama pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Bekas penyerang Once Caldas itu pernah menerajui jentera serangan Selangor pada 2023. Meskipun hanya sempat beraksi selama semusim, del Valle menjaringkan 24 gol dan mencipta enam bantuan gol.
23 gol liga membantu beliau menggondol gelaran Kasut Emas Liga Super. Del Valle mengatasi cabaran Bergson da Silva yang menjaringkan 21 gol.
Selepas meninggalkan Selangor, beliau kemudiannya beraksi untuk Always Ready, CD La Equidad dan Alianza FC.


