Liga Super

Dugaan Berganda Menimpa Selangor

Selangor FC 42 Dugaan Berganda Menimpa Selangor
Selangor FC
Advertisements

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang dialami oleh Selangor FC selepas berdepan dugaan tempoh kurang 24 jam.

Belum sempat luka kekalahan pulih, satu lagi tamparan hebat menyusul, kali ini melibatkan kepentingan skuad kebangsaan.

Pentas separuh akhir Piala FA 2026-27 menjadi medan penentu buat empat pasukan yang mengimpikan tempat ke perlawanan akhir pertandingan piala tertua negara itu. Pada masa sama, skuad kebangsaan sedang bersiap sedia untuk misi di luar negara pertengahan bulan ini, dengan beberapa pemain kelab terbabit turut tersenarai dalam perancangan jurulatih.

Dugaan pertama hadir apabila Selangor FC terpaksa akur tidak layak ke final selepas tewas kepada Kuching City FC dalam saingan separuh akhir Piala FA 2026-27. Keputusan aksi separuh akhir kedua malam Ahad, 8 November menamatkan impian Gergasi Merah untuk menjulang trofi berprestij itu musim ini.

Kekalahan itu pastinya meninggalkan kekecewaan besar buat pasukan yang sering dianggap antara pencabar utama dalam setiap pertandingan domestik. Penyokong setia skuad Gergasi Merah Kuning terpaksa menelan hakikat bahawa perjalanan mereka dalam saingan piala kali ini terhenti satu langkah sebelum pentas akhir.

Belum reda kekecewaan tersebut, dugaan kedua pula menyusul apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan enam pemain Selangor FC tidak dapat menyertai skuad Harimau Malaya ke China.

FAM menerima surat rasmi daripada pihak kelab semalam pada Isnin, 9 November yang memaklumkan keenam-enam pemain mengalami kecederaan selepas aksi separuh akhir kedua menentang Kuching City.
Pemain yang terlibat ialah Nooa Laine,
Ahmad Zikri Khalili, A. Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.

Keenam-enam pemain itu sebelum ini disenaraikan untuk memperkuat skuad kebangsaan bagi menghadapi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yemen, masing-masing pada 14 dan 17 November ini.

FAM memaklumkan pihaknya mengambil maklum perkara tersebut serta menghormati situasi yang dihadapi kelab dan pemain terbabit. Susulan itu, Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bertindak memanggil lima pemain daripada Senarai Bersedia bagi mengisi kekosongan dalam skuad negara.

Bekas jurulatih kebangsaan itu menyenaraikan dua pemain Terengganu FC, iaitu Suhaimi Husin dan Safwan Mazlan, bersama Dominic Tan (Sabah FC), Ariff Farhan Md Isa (Kuching City FC) serta Syafiq Ahmad (Kuala Lumpur City FC).

Bagi skuad Gergasi Merah, tumpuan kini beralih kepada proses pemulihan pemain yang cedera agar mereka kembali cergas secepat mungkin.

Harimau Malaya pula akan meneruskan persiapan dengan barisan yang dirombak, sambil berharap pemain gantian mampu memanfaatkan peluang untuk membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Perlawanan pertama bertemu China pada Sabtu, 14 November 2026 akan berlangsung pada jam 8:00 malam dan perlawanan kedua menentang Yemen pada Selasa, 17 November 2026 dijadual pada jam 2:00 petang. Kedua-dua perlawanan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre.

Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia kini berada di tangga ke-133 dunia, China di tangga ke-96 dunia manakala Yemen di tangga ke-144 dunia.