Liga Super

Liga Super: Status Pendaftaran 4 Pemain JDT Sah

Figueiredo Hevel Irazabal JDT JST 1 Liga Super: Status Pendaftaran 4 Pemain JDT Sah
Johor Southern Tigers
Advertisements

Empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kembali layak beraksi dalam saingan Liga Super sebenarnya sudah didaftarkan secara sah dalam tempoh pendaftaran yang ditetapkan.

Perkara itu timbul selepas satu hantaran di media sosial mendakwa empat pemain yang baru selesai menjalani penggantungan muncul dalam sistem pendaftaran walaupun sebelum ini tidak tersenarai dalam senarai 39 pemain Harimau Selatan.

Dakwaan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan JDT mendaftarkan pemain di luar tempoh yang dibenarkan, sedangkan status pendaftaran dan kelayakan untuk beraksi merupakan dua perkara berbeza.

Empat pemain yang dimaksudkan ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang telah didaftarkan JDT menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak FAM MyPAS (FIFA Connect) pada 19 Ogos 2026.

Tarikh tersebut berada dalam tempoh pendaftaran pertama Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027 yang berlangsung dari 12 Jun hingga 3 September 2026.

Pendaftaran itu dibenarkan kerana hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan terhadap pemain terbabit hanya melibatkan penyertaan dalam perlawanan rasmi dan tidak menghalang kelab daripada mendaftarkan mereka.

Malah, Figueiredo, Hevel dan Irazabal sudah berada dalam senarai pendaftaran JDT sejak jendela perpindahan pertama musim 2025/2026 yang berlangsung dari 9 Jun hingga 31 Ogos 2025.

Ketiga-tiga pemain itu turut sempat beraksi dalam Liga Super, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Piala Shopee sebelum hukuman penggantungan dikenakan terhadap mereka.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga pernah mengesahkan pada Mac lalu bahawa tiada pelanggaran peraturan berlaku berhubung pendaftaran pemain-pemain berkenaan.

Dalam saingan ACLE pula, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai masalah pendaftaran pemain yang digantung itu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, turut menyatakan bahawa tiada masalah dengan keputusan MFL berhubung status pemain terbabit.

Situasi sama turut melibatkan dua pemain lain yang menerima hukuman dalam kes serupa apabila Imanol Machuca kembali beraksi bersama kelabnya di Argentina sebaik tempoh penggantungan berakhir, manakala Facundo Garces turut kembali mewakili kelabnya di Sepanyol.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berserta dokumen daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 30 Oktober lalu.

Dokumen tersebut mengesahkan bahawa ketujuh-tujuh pemain terbabit layak kembali beraksi bermula 1 November 2026, sekali gus membolehkan MFL mengemas kini status kelayakan mereka berdasarkan pengesahan rasmi berkenaan.

Justeru, dakwaan bahawa JDT mendaftarkan empat pemain tersebut di luar tempoh perpindahan adalah tidak tepat kerana rekod menunjukkan pendaftaran mereka dibuat ketika jendela pertama masih dibuka.

Perubahan yang berlaku hanyalah pada status kelayakan pemain daripada digantung kepada dibenarkan beraksi selepas tempoh hukuman masing-masing berakhir.

Sehubungan itu, jendela perpindahan kedua yang dijadualkan berlangsung dari 5 Januari hingga 1 Februari 2027 tidak berkaitan dengan proses mengaktifkan semula kelayakan empat pemain JDT berkenaan kerana mereka sudah pun berdaftar dengan kelab.