Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), João Figueiredo akhirnya kembali beraksi apabila diberikan peluang oleh pengendali pasukan, Xisco Muñoz dalam aksi menentang Jeonbuk Hyundai bagi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.
Joao Figueiredo memulakan perlawanan tersebut di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada awal babak kedua, bagi menggantikan tempat Jonathan Silva tatkala JDT ketinggalan dua gol sebelum rehat.
Kemunculan itu menandakan penampilan semula pemain kelahiran Brazil tersebut bersama Harimau Selatan selepas menamatkan tempoh penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Sebelum ini, Figueiredo tidak dapat membantu JDT dalam perlawanan kompetitif susulan hukuman penggantungan berkaitan kes dokumentasi pemain warisan yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tempoh penggantungan selama 12 bulan itu berakhir pada 31 Oktober 2026 sekali gus membolehkan penyerang berkenaan kembali mengambil bahagian dalam perlawanan rasmi bermula 1 November.
Keputusan Xisco untuk memberikan minit permainan kepada Figueiredo menyaksikan JDT kini mempunyai satu lagi pilihan di bahagian serangan bagi mengharungi baki saingan musim ini.
Selain Figueiredo, pertahanan JDT, Jon Irazabal turut kembali berada dalam perancangan pasukan selepas melepasi tempoh penggantungan yang sama.
Kepulangan kedua-dua pemain itu memberikan tambahan pilihan buat Xisco Munoz ketika JDT meneruskan cabaran dalam saingan domestik dan ACLE musim ini.


