Kim Sang-sik Gerun Lihat Bergson
MakanBola
VFF/MNT

Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik mengakui gerun melihat kelibat penyerang berbisa Harimau Malaya, Bergson da Silva.

Pandangan itu disuarakan jurulatih Korea Selatan itu menjelang aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup antara Pahlawan Bintang Emas dan Malaysia.

Sang-sik menyifatkan skuad Harimau Malaya yang dibimbing Tan Cheng Hoe kali ini lebih mantap dengan kehadiran Bergson di bahagian serangan.

“Malaysia kini memiliki jentera serangan yang lebih bagus dan lebih kuat. Aksi kali ini menampilkan pemain nombor 9 (Bergson), pemain naturalisasi baharu.

“Kita perlu bekerja lebih keras sebagai persediaan untuk menghalang pemain ini esok,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.

Sang-sik berharap dapat menggunakan khidmat Bui Hoang Viet Anh sebagai tonggak benteng Vietnam menjelang aksi Vietnam menentang Malaysia pada 5 Oktober ini.

Meskipun sedar Viet Anh mengalami kecederaan di bahagian otot, bekas jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors itu masih berharap beliau dapat beraksi.

“Bui Hoang Viet Anh mengalami masalah otot. Doktor melaporkan bahawa Viet Anh tidak boleh terus bermain. Saya memutuskan untuk menggantikannya bagi mengelakkan risiko kecederaan.

“Pada mulanya, saya berhasrat untuk membawa Ngo Dang Khoa bagi menggantikan Hai Long kerana dia kelihatan letih. Tetapi kecederaan Viet Anh membuatkan saya mengubah rancangan saya. Kami perlu memantau keadaan Viet Anh sebelum membuat sebarang keputusan tentang kakitangan,” tambahnya.

Malaysia dan Vietnam akan berentap bagi menentukan pemenang tempat ketiga FIFA ASEAN Cup.