ACL

Arif Aiman: Kami Boleh Baiki Banyak Perkara Lagi

Arif JDT 5 Arif Aiman: Kami Boleh Baiki Banyak Perkara Lagi
Johor Southern Tigers
Advertisements

Kekalahan pertama di pentas Asia musim ini tidak mematahkan semangat pemain sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.

Sebaliknya, ia dilihat sebagai peringatan bahawa masih banyak ruang untuk diperbaiki sebelum melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 26/27.

Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur tewas 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi keempat ACLE di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan.

Keputusan itu sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah JDT yang sebelum ini seri 1-1 dengan Buriram United, sebelum menewaskan Pohang Steelers 2-0 dan Port FC 3-0.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui kesilapan sendiri menjadi punca kekalahan. Tuan rumah mendahului pada minit ke-22 apabila Bruno Mota menanduk masuk hantaran lintang Kim Jin-gyu tanpa kawalan, sebelum Italo menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama selepas Syihan Hazmi merempuh pemain lawan.

Menurut kapten Harimau Selatan itu, JDT sebenarnya sudah menjangka ancaman hantaran lintang Jeonbuk, namun gagal mengekangnya ketika perlawanan berlangsung.

“Pada separuh masa pertama, kami melakukan kesilapan yang menyebabkan jaringan. Sebelum perlawanan, kita (JDT) tahu bahawa Jeonbuk Hyundai gemar bermain hantaran lintang tetapi jaringan berlaku daripada hantaran lintang tersebut.

“Jaringan kedua juga berlaku akibat kesilapan, tetapi inilah bola sepak, kesilapan boleh berlaku,” katanya.

JDT tampil lebih bertenaga selepas rehat dengan kemasukan Joao Figueiredo dan Jon Irazabal yang kembali beraksi selepas tamat tempoh penggantungan FIFA. Skuad kendalian Xisco Munoz melepaskan 16 percubaan berbanding enam milik Jeonbuk, namun gagal memecahkan kebuntuan.

“Kami bermain baik pada babak kedua namun tidak berjaya menjaringkan gol. Saya bangga dengan perjuangan rakan sepasukan namun tiada rezeki kami untuk menang kali ini.

Tonggak serangan JDT itu turut mengakui cabaran beraksi di laman lawan, namun tetap optimis dengan keseluruhan kempen pasukannya setakat ini.

“Kami tahu sukar untuk beraksi di gelanggang lawan. Persembahan keseluruhan kami di ACLE ini agak baik tetapi banyak perkara yang boleh diperbaiki lagi.

“Sasaran kami adalah untuk melepasi peringkat kumpulan,” tambahnya ketika ditemu bual selepas perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan JDT kekal dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan, dengan perbezaan jaringan +3. Jeonbuk pula turut mengumpul tujuh mata dengan perbezaan jaringan +1, sekali gus memperketatkan persaingan untuk merebut tempat dalam kelompok lapan teratas Zon Timur yang layak ke pusingan 16 terbaik.

JDT dijadual bertandang ke Thailand untuk menentang Ratchaburi FC di Stadium Ratchaburi pada 24 November bagi aksi kelima. Jeonbuk pula akan ke Jepun untuk berdepan pendahulu carta, Kashima Antlers, sehari kemudian.