Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur mengalami kekalahan pertama di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) setelah kecundang di tangan wakil Korea, Jeonbuk Hyundai pada Selasa.
Perlawanan ke-4 ACLE Zon Timur pada Selasa menyaksikan rekod kebal JDT lebur di tangan Jeonbuk Hyundai apahila tewas 0-2 menerusi dua jaringan yang terhasil pada separuh masa yang pertama.
Tiada perubahan di dalam kesebelasan utama JDT kali ini ketika mana Arif Aiman dan Shahab Zahedi mengetuai jentera hadapan sementara barisan pemain Jeonbuk Hyundai diketuai Kim Yeong-bin.
Tuan rumah berada di depan seawal minit ke-21 apabila hantaran lintang Kim Jin-gyu ditanduk cantik oleh penyerang, Bruno Mota yang tidak dikawal untuk menewaskan Syihan Hazmi di pintu gol JDT.
Sebelum rehat, Jeonbuk Hyundai menambah gol kedua menerusi Italo da Vargas yang menyempurnakan tendangan penalti setelah Syihan Hazmi merempuh pemain lawan ketika cubaan berusaha merebut bola.
Babak kedua menyaksikan kepulangan semula Joao Figueiredo dan Jon Irazabal yang dimasukkan sebagai pemain gantian oleh Xisco Munoz selepas tidak beraksi gara-gara digantung FIFA pada tahun lalu.
Aksi di Stadium Piala Dunia Jeonju berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Jeonbuk Hyundai yang menyaksikan JDT kalah untuk kali pertama di pentas ACLE musim ini.


