Pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) vs Jeonbuk Hyundai dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 2026-2027 bukan sahaja menemukan dua pasukan yang mahu mengutip tiga mata, malah turut menyaksikan pertembungan dua pemain kreatif iaitu Arif Aiman dan Lee Seung-woo.
Media Korea Selatan, Chosun Biz menerusi laporan pada Isnin, memberikan perhatian khusus kepada kedua-dua pemain itu sebagai tonggak serangan yang berpotensi memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan perlawanan.
Lee Seung-woo menjadi antara pemain yang perlu diberikan perhatian oleh benteng JDT apabila pemain berusia 28 tahun itu memiliki kemampuan menggelecek serta mencipta gerakan serangan menerusi pergerakan kreatifnya.
Keupayaan Lee untuk mengucar-ngacirkan pertahanan lawan di kawasan yang sempit turut menjadi antara kelebihan yang diketengahkan dalam laporan tersebut, sekali gus menjadikannya ancaman buat barisan pertahanan Harimau Selatan.
Di kem JDT pula, Arif Aiman menjadi pemain yang diberikan tumpuan selepas pemain sayap kebangsaan itu memainkan peranan penting dalam jentera serangan pasukan menerusi kepantasan dan kemahiran individunya.
Persamaan kedua-dua pemain itu terletak pada kemampuan mereka mencipta perbezaan ketika menguasai bola, terutama menerusi gerakan individu yang mampu membuka ruang serta menghasilkan peluang buat rakan sepasukan.
Laporan media Korea itu turut menyifatkan persembahan Lee dan Arif sebagai antara faktor penting yang boleh mempengaruhi keputusan pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Piala Dunia Jeonju.
Dalam masa sama, Jeonbuk dijangka cuba menguasai bahagian tengah padang selain mengekalkan organisasi pertahanan yang tersusun sebelum menggunakan tekanan tinggi dan peralihan pantas untuk mengancam kubu JDT.
Bagaimanapun, JDT hadir dengan rekod tanpa kalah selepas mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan terdahulu, termasuk kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers dan 3-0 menentang Port FC.
Sebaliknya, Jeonbuk mengumpul empat mata menerusi satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan ke-10 carta Liga Timur menjelang aksi keempat tersebut.
Kemenangan akan membolehkan Jeonbuk menyamai kutipan tujuh mata JDT, sekali gus menjadikan pertemuan ini penting buat kedua-dua pasukan dalam usaha memburu kedudukan lapan teratas untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Aksi Jeonbuk Hyundai vs JDT dijadual berlangsung pada Selasa, 3 November 2026, jam 6 petang waktu Malaysia di Stadium Piala Dunia Jeonju.


