Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Oscar Arribas mengenal pasti pemain bernombor 95 dan 10 Jeonbuk Hyundai Motors sebagai antara ancaman utama menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit 2026/27 Zon Timur.
Pemain kelahiran Sepanyol itu bagaimanapun menegaskan bahawa kekuatan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada individu, sebaliknya turut melibatkan keupayaan keseluruhan pemain.
“Saya tidak gemar menumpukan perhatian kepada seorang pemain sahaja kerana perkara paling penting dalam sesebuah pasukan adalah kekuatan secara keseluruhan.
“Setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi bagi saya, pemain bernombor 5 (Park Ji-su) dan 10 (Lee Seung-woo) mereka mempunyai kemampuan luar biasa serta kepantasan seperti yang dinyatakan oleh jurulatih,” jelasnya.
Walaupun menyedari ancaman pasukan tuan rumah, pemain berusia 28 tahun itu tetap optimis dengan persiapan JDT dan percaya pasukannya mampu menerapkan corak permainan tersendiri ketika berdepan gergasi bola sepak Korea Selatan tersebut.
Bercakap pada sidang media pra-perlawanan bersama ketua jurulatih, Xisco Muñoz, Arribas turut menekankan persiapan rapi yang telah dilakukan skuad Harimau Selatan sepanjang minggu ini.
“Kami tahu perlawanan esok bukanlah sesuatu yang mudah. Kami telah membuat persiapan dengan baik sepanjang minggu ini dan sedar bahawa mereka merupakan sebuah pasukan yang kuat.
“Namun, kami lebih menumpukan perhatian kepada permainan sendiri dan akan cuba memberikan 100 peratus kemampuan untuk mendapatkan keputusan terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, pertahanan versatil itu turut menyuarakan keyakinan terhadap perkembangan positif JDT serta kekuatan mental pasukan ketika bersaing di pentas Asia.
Menurutnya, skuad Harimau Selatan akan terus berusaha mempamerkan identiti permainan mereka di hadapan penyokong sambil mengekalkan sikap rendah diri dan keazaman untuk memperoleh keputusan positif.
“Esok, kami akan cuba memperlihatkan corak permainan kami kepada semua penyokong. Saya fikir kami berada di landasan yang betul. Kami kekal merendah diri, tetapi pada masa sama mempunyai cita-cita untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan hadir dengan momentum positif selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Port FC pada aksi ACLE yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 27 Oktober lalu.
Aksi antara Jeonbuk Hyundai menentang JDT dijadual berlangsung pada 3 November 2026 di Stadium Piala Dunia Jeonju jam 6.00 petang waktu Malaysia.


