Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu meneruskan rentak cemerlang pasukan itu di pentas Asia.
Perkara ini dinyatakan beliau dalam sidang media praperlawanan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Jeonbuk Hyundai Motors dan JDT.
Meskipun sedar Jeonbuk bukan pasukan mudah, Munoz percaya anak buahnya mampu merealisasikan misi meraih tiga mata penuh di bumi Korea Selatan.
“Perkara paling penting dalam perlawanan ini ialah meneruskan peningkatan (prestasi) kami (di Asia) dengan bermain secara menyerang. Perlawanan esok akan menjadi satu cabaran yang sukar.
“Pasukan lawan, Jeonbuk merupakan pasukan yang kuat. Barisan pertahanan dan bahagian tengah mereka mantap. Walaupun perlawanan esok dijangka sukar, kami mahu meraih kemenangan,” katanya seperti dilaporkan Chosun.
Bila ditanya perbezaan antara Jeonbuk dan satu lagi kelab Korea Selatan, Pohang Steelers, Munoz menyifatkan bekas juara K-League 1 edisi 2024 itu memberi penekanan kepada penguasaan bola.
Atas sebab itu, bekas jurulatih Watford itu mahu anak buahnya memanfaatkan setiap peluang ketika menyerang Jeonbuk.
“Kami tewaskan Pohang tetapi perlawanan esok akan menjadi sesuatu yang berbeza sama sekali. Jeonbuk pasukan yang lebih banyak menguasai bola berbanding Pohang.
“Kami perlu mempamerkan aksi terbaik apabila menguasai bola. Kami mesti bermain secara menyerang. Kami perlu lebih fokus di kawasan serangan pada perlawanan esok.
“Jika tidak, ini akan menjadi perlawanan yang sukar. Memandangkan lawan ini kuat, (keperluan JDT) mengambil inisiatif (menyerang terlebih dahulu) sangat penting,” tambahnya.
JDT berharap dapat mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di ACLE. Selepas diikat Buriram United 1-1, anak buah Munoz kemudiannya menewaskan Pohang Steelers dan Port FC.
JDT akan berentap dengan Jeonbuk di Stadium Piala Dunia Jeonju pada 3 November ini.


