Liga A2

Akademi JDT Antara 18 Pasukan Bertanding Di Liga A2

JDT III Akademi JDT Antara 18 Pasukan Bertanding Di Liga A2
Advertisements

Sebanyak 18 pasukan termasuk Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bersaing di pentas Liga A2 Amateur 2026/2027 selepas senarai penyertaan rasmi diumumkan oleh Amateur Football League (AFL) pada Isnin.

Daripada jumlah tersebut, lapan pasukan baharu melengkapkan senarai penyertaan bagi menghadapi saingan yang dijadualkan membuka tirai pada 14 November 2026 sebelum melabuhkan tirainya pada April 2027.

Antara nama yang mencuri perhatian ialah Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan menjadi antara wakil dalam saingan Liga A2 musim ini.

Selain itu, tujuh lagi pasukan baharu yang mengesahkan penyertaan ialah Perak FA II, Kg. Rawa-Butterworth Rangers, Star City FC U20, CCCP KDN FC, Melaka FC U20, PDRM FA dan SATU FC.

Sementara itu, 10 pasukan sedia ada turut kembali menghangatkan persaingan termasuk Kuala Perlis Titans FC, KGKU FC, ACEIO FC, Sg. Merab FC dan THKR FC.

Senarai tersebut turut disertai PUSEN-Seremban United, NS Forces Warrior FC, YPM FC, Raub STW FC dan MPPD FC yang akan meneruskan cabaran dalam kejohanan berkenaan.

Bagi edisi kali ini, AFL membahagikan kesemua 18 pasukan kepada empat zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Pantai Timur.

Zon Utara menampilkan Kuala Perlis Titans FC, Perak FA II, Kg. Rawa-Butterworth Rangers dan Star City FC U20.

Zon Tengah pula dihuni KGKU FC, ACEIO FC, Sg. Merab FC, CCCP KDN FC dan Johor Darul Ta’zim Academy.

Bagi Zon Selatan, lima pasukan yang akan berentap ialah THKR FC, MPPD FC, PUSEN-Seremban United, NS Forces Warrior FC dan Melaka FC U20.

Manakala Zon Pantai Timur melibatkan YPM FC, PDRM FA, Raub STW FC dan SATU FC.

Untuk rekod, edisi lalu menyaksikan AZM Rovers FC, Kuala Perlis Titans FC, USM FC dan AAK Puncak Alam FC berjaya melangkah ke pentas separuh akhir.

AZM Rovers FC kemudian muncul juara Liga A2 Amateur selepas menewaskan USM FC dengan keputusan 3-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.