Liga A2: AAK Ultimate ‘Ratah’ Selayang City 5-0
MakanBola
AAK Ultimate FC

AAK Ultimate FC meneruskan momentum kemenangan dalam Kumpulan B Liga A2 Amateur apabila membelasah Selayang City 5-0.

AAK Ultimate mahu meneruskan rentak kemenangan selepas mengalahkan Kampung Ku FC (KGKU) pada 27 Julai lalu. Sementara Selayang City mahu bangkit selepas dibelasah NBK Empire FC 4-1.

Sebaik separuh masa pertama bermula, AAK Ultimate berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi Fa’es Hafize Mohd Fadzil.

Ini memaksa barisan pertahanan Selayang City diketuai Mahazin Jasuli bekerja keras menyerap setiap asakan yang dikenakan pelawat.

AAK Ultimate terpaksa menunggu sehingga minit ke-42 untuk mendahului menerusi Shukor Azmi. Tiga minit kemudian, Naufal Akif Aswat menjadikan kedudukan pelawat selesa mendahului 2-0.

AAK Ultimate terus memberi tekanan kepada Selayang City tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, AAK Ultimate semakin garang untuk menambah kelebihan gol mereka. Anak buah Hasmawi Hassan tidak menunggu lama untuk gol ketiga menerusi Fa’es Hafize.

Gawang Selayang City yang dikawal Alif Azahan Mazlan bocor lagi buat kali keempat pada minit ke-55. Shukor sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring buat AAK Ultimate.

Kapten AAK Ultimate, Azmi Muslim memastikan pasukan itu meraih tiga mata penuh dengan gol kelima pada minit ke-88. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan AAK Ultimate menerajui Kumpulan B Liga A2 Amateur dengan enam mata. Sementara Selayang City di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

View this post on Instagram

A post shared by Amateur Football League (@afl_my)

Selepas ini, AAK Ultimate akan menentang Mahsa United pada 10 Ogos. Sementara Selayang City pula berdepan KGKU pada hari yang sama.