Akademi JDT Perkukuh Masa Depan Pemain, Di Padang Dan Di Universiti
MakanBola
Manny
Advertisements AnS

Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sekadar kilang melahirkan pemain bola sepak, sebaliknya turut menyediakan laluan masa depan kepada anak muda yang mungkin memilih kerjaya di luar padang.

Hakikatnya, tidak semua pemain akademi akan berjaya menembusi skuad utama. Atas sebab itu, JDT memastikan setiap pemainnya membesar dengan keseimbangan antara sukan dan pendidikan.

Perkara itu didedahkan Pengarah Akademi JDT, Javi Jorda ketika ditemu bual Youtuber England, Manny dalam video berjudul I Visited the Football Club That NEVER Loses… yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya pada 15 Oktober lalu.

Manny, atau nama sebenarnya Emmanuel Brown, ialah adik kepada TBJZL, anggota kumpulan Sidemen, dan memiliki lebih dua juta pengikut di YouTube. Video berdurasi 20 minit itu dirakam ketika JDT membuat persiapan menghadapi Chelsea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim pada Ogos lalu.

Menurut Jorda, akademi JDT menekankan pembangunan pemain jangka panjang yang bermula seawal usia kanak-kanak.

“Kami bermula dari kanak-kanak, dari B-12 hingga B-20 di akademi ini. Kemudian mereka akan ke pasukan simpanan, boleh dikatakan B-23,” katanya.

Jorda menegaskan, piawaian yang ditetapkan di akademi itu ialah program pendidikan penuh, bukan sekadar latihan bola sepak.
Ditanya Manny apa yang berlaku jika pemain akademi akhirnya tidak mahu meneruskan kerjaya bola sepak, Jorda mengesahkan laluan alternatif sudah tersedia.

“Ya, kami ada. Kami mempunyai program di universiti dan menjalin kerjasama dengan mereka. Apabila pemain tamat sekolah menengah, mereka berpeluang menyambung pengajian ke universiti. Kami juga ada diploma sains bola sepak,” jelasnya.

Tahun ini, katanya, 14 pemain akan menamatkan program tersebut selepas tiga tahun dengan memperoleh diploma, malah sebahagian daripada mereka sudah pun bersama skuad yang lebih senior.

Dalam video sama, penyerang JDT, Bergson da Silva pula menyifatkan kapten pasukan, Arif Aiman Hanapi sebagai contoh terbaik hasil pembangunan akademi kelab itu.

“Dia contoh penting kerana dia datang dari akademi. Ketika saya mula-mula datang enam tahun lalu, dia hanyalah seorang pemain muda. Hari ini dia antara pemain paling penting yang kami ada,” katanya.

Arif Aiman sendiri menjaringkan gol pembukaan ketika JDT mengikat Chelsea 3-3 dalam aksi persahabatan tersebut.

Kenyataan-kenyataan ini selari dengan rekod cemerlang akademi itu kebelakangan ini. JDT III menjuarai Piala Presiden (B-20) empat tahun berturut-turut sejak 2022, manakala JDT IV menjulang Piala Belia (B-18) pada 2024 dan 2025, sebelum terbaru meraih pingat emas Sukma.
Akademi JDT juga satu-satunya akademi kelab di Malaysia yang beroperasi secara profesional sepenuhnya dengan pasukan dari B-12 hingga B-23, selain satu-satunya yang memegang akreditasi Akademi Dua Bintang AFC.

Gabungan bola sepak dan pendidikan ini menjadikan Akademi JDT antara model pembangunan paling lengkap di negara ini. Bagi ibu bapa yang bimbang tentang masa depan anak jika impian bola sepak tidak kesampaian, pendekatan ini memberi jaminan bahawa setiap pemain akademi tetap keluar dengan bekal ilmu, sama ada mereka akhirnya beraksi di padang atau melangkah ke universiti.